TUARAN:Keadaan jalan raya berlubang yang semakin teruk di laluan utama Tebobon menuju ke Bandar Sierra kini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan dan penunggang motosikal. Laluan ini merupakan antara jalan utama yang digunakan setiap hari oleh ribuan kenderaan, namun tahap kerosakan yang dibiarkan berlarutan jelas mengancam keselamatan awam.
Keadaan menjadi lebih kritikal ketika musim hujan apabila lubang lubang besar di permukaan jalan sukar dikesan kerana dilitupi air. Situasi ini bukan sahaja meningkatkan risiko kemalangan malah berpotensi mengakibatkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa, terutamanya kepada penunggang motosikal yang jauh lebih terdedah.
Menurut Kefayatullah Malik, seorang aktivis masyarakat merangkap Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah PAKAS dan pengasas TigaSatuTiga Channel, isu berkenaan tidak boleh lagi dipandang ringan.
Beliau berkata jalan Tebobon ke Bandar Sierra bukan laluan kecil sebaliknya merupakan laluan utama yang digunakan setiap hari oleh ribuan kenderaan termasuk pemandu e hailing, penghantar makanan dan pekerja harian yang terpaksa memandu dalam hujan demi mencari rezeki.
Lubang lubang besar yang dipenuhi air hujan katanya sangat sukar dilihat dan amat berbahaya kepada pengguna jalan raya.
Beliau turut mendedahkan bahawa pada malam sebelumnya beliau sendiri hampir terbabas akibat beberapa lubang besar yang terletak sangat berdekatan di laluan berkenaan. Lebih membimbangkan beliau menyaksikan sekurang kurangnya dua buah motosikal mengalami kerosakan tayar ketika hujan di sepanjang jalan tersebut.
Masalah ini katanya bukan hanya tertumpu di laluan Tebobon Bandar Sierra sahaja. Keadaan jalan raya rosak turut dikesan di beberapa laluan utama lain termasuk jalan dari Berungis menuju ke pekan Tuaran, jalan Laya Laya Gayang serta beberapa laluan penting lain yang masih belum menerima penyelenggaraan sewajarnya.
Beliau mempersoalkan sama ada pihak berkaitan perlu menunggu sehingga berlaku kehilangan nyawa sebelum tindakan segera diambil, sedangkan isu keselamatan jalan raya seharusnya ditangani lebih awal dan bersifat pencegahan.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak berwajib khususnya agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan agar segera turun padang untuk menilai tahap kerosakan serta melaksanakan kerja pembaikan menyeluruh dan berkualiti, bukan sekadar tampalan sementara yang gagal menyelesaikan masalah dalam jangka panjang.
Keselamatan pengguna jalan raya tegasnya perlu dijadikan keutamaan lebih lebih lagi apabila melibatkan laluan utama yang menjadi nadi pergerakan ekonomi dan kehidupan harian masyarakat setempat.
