TAWAU: Seorang pemandu kenderaan jenis Perodua Myvi yang tular melanggar sebuah farmasi secara berulang kali didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memandu dalam keadaan tidak cermat, bulan lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Chin Soon Sang, 60, selepas mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Chin didakwa memandu kenderaannya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya dalam jam di Lorong Bintang Shophouse 8, di sini, jam 3.30 petang, 29 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 dan 12 bulan penjara serta lesen boleh diendos dengan sabitan kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon hukuman denda maksimum dengan mengambil kira tahap kecuaian tertuduh, kerosakan harta benda yang serius dan kepentingan awam.
Beliau berkata, kejadian yang tular di media sosial itu memerlukan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada masyarakat supaya mengawal kenderaan dengan cermat.
Pihak pendakwaan turut memohon supaya lesen memandu tertuduh diendors dengan butiran kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dipercayai hendak memandu kenderaan jenis Perodua Myvi menuju ke rumahnya di Taman Sri Impian selepas mengunjungi sebuah klinik di Batu 3, Jalan Apas.
Ketika cuba mengundurkan kenderaannya, tertuduh terpijak pedal minyak hingga mengakibatkan kenderaan itu bergerak ke hadapan lalu melanggar sebuah farmasi.
Tertuduh cuba mengundurkan semula keretanya, namun terlanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Innova yang diparkir sebelah kenderaannya.
Kejadian itu turut tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai apabila tertuduh dilihat melanggar farmasi dan kenderaan itu berulang kali. -DAKWAT RAKYAT POST
