SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Semporna dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sabah memeriksa 30 premis perniagaan dan mengeluarkan satu tindakan kompaun dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu di sekitar daerah ini, semalam.
Operasi berkenaan melibatkan empat anggota KPDN Cawangan Semporna dan tiga anggota SSM Sabah, dengan tumpuan pemeriksaan ke atas pelbagai premis perniagaan termasuk sektor pelancongan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS 1972) selepas didapati menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan oleh Inspektor Timbang dan Sukat ketika urusan perdagangan dijalankan.
Ketua Cawangan KPDN Semporna, Tuan Satunlucy Lamioh @ Lamidah, berkata operasi penguatkuasaan secara bersepadu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang sedia ada serta melindungi kepentingan pengguna.
“Penguatkuasaan berterusan ini penting bagi menjamin keadilan kepada pengguna dan memastikan urusan perdagangan dijalankan secara telus, khususnya di daerah Semporna dan Kunak,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga kepada pihak KPDN supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp KPDN di 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886 800, emel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, atau melalui surat rasmi ke pejabat KPDN terdekat.
