TAKLIMAT: Nizam (tengah) diberikan penerangan terperinci oleh Timbalan Presiden MPT, Mohd Shoffian Mohd Said, mengenai keadaan dan tindakan susulan di tapak lawatan.
TAWAU: Pertumbuhan pesat pembangunan dan peningkatan kepadatan penduduk di kawasan Apas Balung menuntut supaya pembinaan balai bomba dan penyelamat di kawasan itu disegerakan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata keperluan itu bukan lagi sekadar cadangan, sebaliknya sudah menjadi tuntutan demi keselamatan penduduk setempat.
Menurutnya, perancangan pembinaan balai bomba di kawasan berkenaan sebenarnya sudah dibincangkan sebelum ini, namun pelaksanaannya wajar dipercepatkan memandangkan perkembangan semasa.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau terletak di pusat bandar dan jaraknya agak jauh untuk memberi respons pantas jika berlaku kecemasan di Apas dan Balung.
“Dengan pertambahan kawasan perumahan, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan aktiviti ekonomi yang semakin rancak, kewujudan balai bomba di sini sangat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak kebakaran di Simpang Batu 15 Jalan Apas, pagi tadi, yang menyaksikan 18 gerai musnah dalam kejadian baru-baru ini.
Katanya, ketika insiden berlaku beliau sedang menunaikan ibadah umrah dan sebaik dimaklumkan, beliau segera mengarahkan pegawainya termasuk Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas turun padang membantu mangsa.
“Bantuan disalurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diketuai Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Hari ini saya sampaikan sedikit sumbangan wang tunai dan kurma sempena Ramadan bagi meringankan beban peniaga yang terjejas. Kita akan terus memantau dan melihat bantuan susulan yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk khususnya di kawasan berisiko tinggi supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan, terutama dalam penyambungan elektrik, penggunaan dapur gas serta pembinaan struktur kediaman atau premis perniagaan.
Katanya, setiap pembinaan perlu mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut meminta MPT mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tapak kebakaran terletak di kawasan rizab jalan.
“Perbincangan ini penting untuk menentukan status tapak dan tindakan terbaik supaya kawasan ini dapat diurus dengan lebih teratur serta selamat pada masa depan,” katanya. Beliau berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi perhatian serius terhadap cadangan pembinaan balai bomba Apas Balung demi memastikan respons kecemasan lebih pantas dan keselamatan penduduk terus terjamin.
