Nizam beramah mesra dengan penduduk Kampung Titingan.
TAWAU: Program jelajah Ramadan yang menjadi acara tahunan di kawasan Apas terus dimanfaatkan sebagai medan mendekati rakyat selain mengimarahkan bulan penuh keberkatan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pendekatan turun padang menerusi majlis berbuka puasa, solat berjemaah dan tarawih bersama komuniti memberi peluang kepada pemimpin mendengar sendiri suara rakyat.
Menurutnya, program anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Apas itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya platform mengukuhkan silaturahim sepanjang Ramadan.
“Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan menunaikan ibadah puasa dan bersama masyarakat mengimarahkan masjid.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita laksanakan jelajah Ramadan di seluruh kawasan Apas dan kali ini bermula di Masjid Kampung Titingan Babul Khair sebelum bergerak ke pusat daerah mengundi (PDM) lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Tarawih bersama penduduk Kampung Titingan, di sini, malam tadi.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi membolehkan pihaknya memahami secara langsung isu serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Melalui kaedah ini, kita dapat maklumat yang lebih tepat dan jelas. Komunikasi dua hala seperti ini membantu kita mencari penyelesaian lebih berkesan terhadap masalah rakyat,” katanya.
Beliau berkata, interaksi berterusan antara pemimpin dan masyarakat juga mampu memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum dan agama di kawasan itu.
“Program seperti ini bukan saja tradisi berbuka puasa, tetapi menjadi medium memupuk toleransi, persefahaman dan memastikan keharmonian terus terpelihara,” katanya.
Dalam program sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pusat kelas KAFA dan pusat tahfiz di Blok 5 Laut Kampung Titingan sebagai sokongan terhadap usaha membimbing generasi muda mendalami al-Quran.
Katanya, bantuan itu diharap dapat menyuntik semangat kepada pengurusan pusat berkenaan untuk terus memperkasa program pendidikan agama demi masa depan anak-anak setempat.
