KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman hari ini menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Tan Sri Mohd Taufik Tengku Kamadjaja Aziz di Istana Seri Kinabalu.
Turut serta dalam kunjungan hormat tersebut ialah Naib Presiden Kanan PETRONAS, Datuk Bacho Pilong. Pertemuan itu mencerminkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan syarikat petroleum nasional dalam memperkukuh kerjasama strategik demi pembangunan dan kemakmuran Sabah.
Selepas sesi kunjungan hormat berkenaan, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin berangkat ke Sandakan bagi memenuhi undangan merasmikan Masjid Fakulti Pertanian Lestari.
Masjid berkenaan terletak di kampus Sandakan, Universiti Malaysia Sabah, yang menjadi pusat pengajian utama dalam bidang pertanian lestari dan penyelidikan berkaitan.
Selaku Canselor UMS, Tun Musa Aman turut berkesempatan beramah mesra dengan para Pegawai Utama UMS dari Kota Kinabalu dan Sandakan menerusi majlis berbuka puasa yang diadakan sempena perasmian masjid tersebut. Majlis itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
Perasmian Masjid Fakulti Pertanian Lestari itu diharap menjadi pemangkin kepada pengimarahan institusi pendidikan berkenaan, sekali gus menyemarakkan aktiviti kerohanian dan pembangunan sahsiah dalam kalangan pelajar serta warga kampus.
Kredit foto : FB TYT Tun Musa Aman
