KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Blok Borneo tidak bertujuan memperkukuh penguasaan politik di peringkat Persekutuan, sebaliknya untuk memastikan keseimbangan serta semangat perkongsian antara wilayah terus terpelihara.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa Sabah dan Sarawak menggunakan gagasan itu untuk memperkukuh kawalan politik Persekutuan perlu dilihat dalam konteks sejarah pembentukan Malaysia.
Beliau berkata, pembentukan Blok Borneo adalah pendekatan politik yang sah dan matang bagi menyelaraskan pendirian Sabah serta Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen.
“Dalam kerangka sistem Persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah untuk memperkukuh kedudukan rundingan adalah amalan biasa dan tidak seharusnya ditanggapi secara negatif.
“Ia selari dengan prinsip perkongsian yang menjadi asas penubuhan Malaysia pada 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan dibuat menerusi rundingan yang jelas serta disertai jaminan perlindungan tertentu, termasuk berkaitan identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan.
Katanya, jaminan berkenaan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan negara.
“Perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan bukanlah kelebihan yang melampau.
“Sebaliknya, ia adalah komitmen asal yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia. Justeru, usaha berterusan untuk menuntut serta memperkukuh pelaksanaannya adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” katanya.
Mengulas cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata langkah itu wajar dipertimbangkan dari sudut representasi lebih saksama, mengambil kira keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta cabaran pembangunan yang berbeza.
Beliau menegaskan, pembentukan Blok Borneo mencerminkan kematangan politik kedua-dua wilayah dalam kerangka Persekutuan dan bertujuan memperkukuh kerjasama agar isu pembangunan, hak Perlembagaan serta kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih tersusun dan konstruktif.
“Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah, bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo. Oleh itu, usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan perlu dilihat sebagai langkah memperkasakan negara secara keseluruhan,” katanya.
