NIZAM (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada mangsa kebakaran, Asmad Rahim (kiri).
TAWAU: Ketika masyarakat sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sebahagian mangsa kebakaran di Kampung Tawau Lama, di sini, masih mencari sinar bagi meneruskan kehidupan selepas kehilangan rumah dalam kejadian pada 2 Februari lalu.
Ada yang masih menumpang di rumah saudara-mara, malah ada juga yang terpaksa berpindah-randah sementara menunggu kehidupan kembali stabil.
Walau bagaimanapun, atas keprihatinan pelbagai pihak, seramai 80 keluarga menerima sumbangan RM1,000 bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.
Seorang mangsa, Asmad Rahim, 34, berkata, sumbangan berkenaan begitu bermakna buat semua mangsa yang masih cuba bangkit selepas tragedi itu.
Katanya, walaupun nilai berkenaan mungkin kecil bagi pemberi, tetapi bagi kami mangsa kebakaran ia sangat besar nilainya.
“Macam saya sendiri, sekarang menumpang kerana rumah sudah tiada. Persiapan raya tahun ini memang serba kekurangan.
“Walaupun berdepan kesukaran, saya dan keluarga tetap berusaha untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesyukuran,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Bantuan Prihatin, di Majlis Perbandaran Tawau (MPT), hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Sabah bersama SD Guthrie.
Seorang lagi mangsa, Saka Laddi, 54, berkata, beliau bersyukur atas keprihatinan kerajaan dan pihak yang tampil membantu mangsa kebakaran.
Katanya, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk membeli bahan-bahan bagi membaiki semula rumah mereka yang rosak.
“Terima kasih kepada kerajaan yang membantu saya dan semua mangsa yang hadir pada hari ini. Dengan bantuan ini, saya dapat beli barang-barang untuk baiki rumah saya yang terbakar,” katanya.
Sementara itu, Nizam berkata, bantuan yang disalurkan itu diharap dapat menceriakan mangsa kebakaran, lebih-lebih lagi ketika umat Islam berada pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dan membantu membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas inisiatif melancarkan tahung kebajikan yang dikendalikan Yayasan Kebajikan Sabah sejak tahun 2021.
“Tabung berkenaan menghimpunkan sumbangan daripada badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan dan pelbagai pihak termasuk SD Guthrie bagi membantu rakyat Sabah yang ditimpa pelbagai musibah seperti kebakaran, banjir dan kemalangan.
“Saya juga menyeru lebih banyak syarikat kerajaan, badan korporat, sektor swasta dan individu yang berkemampuan untuk bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada tabung berkenaan supaya lebih ramai rakyat yang memerlukan dapat dibantu,” katanya.
