KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya merampas ribuan karton rokok tanpa cukai serta mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM850,000 dalam satu serbuan di Kampung Paris III, di sini.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos, berkata rampasan tersebut melibatkan 4,486 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama serta 143 karton mercun yang disimpan di tiga premis tidak bernombor di kampung berkenaan.
Menurutnya, serbuan yang dijalankan pada 11 Mac lalu itu dilakukan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.
“Tindakan pantas melalui pemeriksaan dan serbuan mengejut ini mencerminkan komitmen berterusan ESSCOM dalam membanteras serta mengurangkan jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara jenama rokok yang dirampas termasuk Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice, Extreme Mild, A Satu Premium dan Tembakau Salak yang disembunyikan di dalam kotak dan plastik.
Menurut Victor, kesemua barangan tersebut dipercayai melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
“Barang rampasan melibatkan rokok dan mercun itu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau menegaskan ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi khas bagi mengekang sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam khususnya di kawasan Sabah Timur.
Tambahnya, ESSCOM juga akan memperkukuh koordinasi operasi bersama pasukan keselamatan lain bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan kontraban dan rompakan laut di kawasan daratan serta perairan ESS Zone.
Dalam pada itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp di talian 011-63311072 bagi membantu pihak berkuasa mengekalkan keselamatan di kawasan berkenaan.
