Nizam bergambar bersama semua jawatankuasa dan peserta majlis berkenaan.
TAWAU: Majlis Khatam Perdana Tadarus al-Quran anjuran syukbah Masjid Al-Kauthar berjaya menghimpunkan hampir 1,000 peserta daripada 55 persatuan dan kumpulan selawat seluruh perbandaran Tawau.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program berkenaan merupakan antara himpunan khatam al-Quran terbesar yang pernah dihadirinya.
“Ini adalah salah satu himpunan khatam al-Quran paling besar yang pernah saya sertai dan saya difahamkan program ini diadakan setiap bulan Ramadan.
“Ia menunjukkan kesungguhan kaum ibu di Tawau untuk terus mendalami al-Quran,” katanya selepas merasmikan majlis itu di Masjid Al-Kauthar, di sini, pago tadi.
Beliau berkata, penganjuran program pada 10 malam terakhir Ramadan amat signifikan kerana waktu berkenaan menjadi peluang terbaik umat Islam memperbanyakkan ibadah.
“Melalui tadarus dan tazkirah yang disampaikan oleh guru pembimbing, peserta bukan sahaja dapat mempertingkatkan kualiti bacaan al-Quran, malah memperkukuh ketakwaan.
“Kaum ibu memainkan peranan penting dalam rumah tangga dan menjadi teladan kepada anak-anak agar menjadikan al-Quran panduan hidup,” katanya.
Nizam turut berharap program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai masyarakat, terutamanya generasi muda, mendekati al-Quran dan memperkukuhkan pendidikan agama di peringkat keluarga.
