LAHAD DATU: Seramai 35 anak yatim dan golongan asnaf diraikan dalam satu program Shopping Raya sempena menyambut bulan Syawal yang bakal tiba, hasil anjuran Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian N.61 Segama.
Program yang bertujuan menceriakan golongan kurang berkemampuan itu mendapat tajaan daripada syarikat LH Transport, sekali gus memberi peluang kepada para penerima untuk membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih sempurna.
Naib Ketua Wanita PGRS Segama, Norhafizah Salwati Abg Rahim, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya untuk berkongsi rezeki dan memastikan anak-anak yatim serta golongan asnaf turut merasai kegembiraan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Melalui program ini, kita ingin memberikan sedikit keceriaan kepada mereka agar dapat membuat persiapan raya seperti orang lain.
Walaupun tidak seberapa, kami berharap ia dapat meringankan beban serta menggembirakan hati mereka menjelang Syawal,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut.
Menurut beliau lagi, pihak Pergerakan Wanita PGRS Segama turut merakamkan penghargaan kepada LH Transport atas kesudian menaja program berkenaan.
Beliau berharap lebih banyak pihak tampil menyokong usaha kebajikan seumpama itu bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam meraikan anak-anak yatim dan asnaf di kawasan Segama.
Program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada para penerima memilih sendiri pakaian dan keperluan raya, malah turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat serta menyemai semangat prihatin dalam kalangan komuniti.
