NIZAM (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan dalam Program Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan 2026 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Sabah.
TAWAU: Masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai hab penting dalam membentuk jati diri dan kepimpinan generasi muda.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penglibatan belia dalam aktiviti masjid mampu melahirkan generasi muda yang berintegriti, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Beliau berkata, golongan bukan beragama Islam juga tidak dihalang untuk mendekati masjid bagi mempelajari sejarah dan nilai perjuangan dalam Islam.
“Apabila belia dekat dengan masjid, mereka sebenarnya dekat dengan ilmu, dekat dengan nilai agama dan ini akan membantu membentuk generasi yang mampu memimpin negeri dan negara pada masa hadapan.
”Belia yang bertanggungjawab boleh memudahkan kerajaan untuk membawa apa juga pembangunan dan memberi manfaat kepada rakyat bukan sahaja kepada orang muda tetapi kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan 2026 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Sabah, di Masjid Al-Kauthar, di sini, semalam.
Program berkenaan menghimpunkan 350 peserta Rakan Muda dan Rakan Masjid dari enam bahagian di seluruh Sabah bagi menyertai pelbagai aktiviti keagamaan termasuk tadarus dan khatam al-Quran.
Menurut Nizam, pendekatan melalui gaya hidup Rakan Muda memberi ruang kepada golongan belia untuk menjadikan masjid sebagai tempat mereka berkumpul, belajar dan membina jati diri yang positif.
Beliau turut menegaskan masjid juga berperanan sebagai pusat pembangunan umat yang menyumbang kepada penyebaran ilmu dan pengukuhan perpaduan dalam masyarakat.
“Penglibatan belia dalam aktiviti seperti tadarus dan khatam al-Quran bukan sahaja memperkukuh kefahaman terhadap al-Quran, malah mampu membentuk sahsiah diri yang lebih baik dan nilai kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai golongan belia dapat mendekati masjid dan mengisi masa mereka dengan aktiviti yang bermanfaat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia bagi memperkasa potensi dan kepimpinan generasi muda di Sabah.
