KUNAK: Sebanyak 18 sekolah di daerah ini menerima suntikan dana kewangan berjumlah keseluruhan RM460,000 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kunak, Rabu lalu.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Kunak,Datuk Sri Dr Anil Sandhu, berkata bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmennya dalam menunaikan janji manifesto yang dibuat pada pilihan raya lalu
.
Menurutnya, sebanyak 14 sekolah rendah masing-masing menerima RM20,000, manakala tiga sekolah menengah menerima RM50,000 setiap satu, dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menerima RM30,000.
“Penyaluran peruntukan kewangan kepada setiap PIBG sekolah di daerah ini adalah bukti komitmen berterusan saya dalam memperkasa sektor pendidikan serta menjaga kebajikan murid dan pelajar,” katanya dalam laman Facebook rasmi beliau.
Beliau berkata, bantuan tersebut diharap dapat membantu pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam melaksanakan pelbagai program serta aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti sekolah.
Dalam majlis itu, cek bantuan diserahkan kepada wakil pengurusan PIBG setiap sekolah sebagai simbolik penyerahan.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kunak, Dr Suharpi Lasuddang, Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman, selain kakitangan PPD, pengetua serta guru besar sekolah sekitar daerah berkenaan.
