Runtuhan tanah yang berlaku di laluan Merotai-Kalabakan.
TAWAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah ini digesa mengambil tindakan segera bagi menangani kerosakan jalan raya dan runtuhan tanah yang berlaku di laluan Merotai-Kalabakan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, keadaan di lokasi itu semakin membimbangkan pengguna jalan raya apabila runtuhan tanah itu sudah melebihi separuh daripada jalan raya berkenaan.
“Saya melihat sendiri keadaan jalan di Merotai-Kalabakan yang teruk terutama di kilometer(KM)55.1 dan KM55.4 di mana cerun itu menggelongsor dan sudah melebihi setengah jalan.
“Dengan keadaan trafik yang dijangka meningkat sempena Hari Raya Aidilfitri, kita harap pihak JKR mengambil langkah proaktif sekurang-kurangnya mempertingkatkan keselamatan dan membaiki jalan berkenaan supaya ia dapat dilalui dengan selamat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Beliau berkata, setakat ini hanya langkah sementara dilaksanakan JKR termasuk penyediaan laluan di bahu jalan dan pemasangan penampan air di kawasan cerun yang runtuh bagi mengelakkan hakisan bertambah buruk.
Beliau bagaimanapun berkata, langkah itu belum memadai sekiranya tidak ada tindakan segera diambil ekoran keadaan laluan berisiko menjadi semakin teruk dan menjejaskan perjalanan pengguna.
“Saya mahu JKR dan Kementerian Kerja Raya segera menyelesaikan masalah ini kerana ia bukan sahaja melibatkan keselesaan, tetapi juga keselamatan pengguna jalan raya.
“Sekiranya tidak diambil tindakan segera atau langkah pencegahan dilaksanakan, kerosakan itu dibimbangi akan menjadi semakin serius dan menjejaskan kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya,” tegasnya.
