Nizam (tiga kanan) beramah mesra dengan pemimpin dan tetamu yang hadir.
TAWAU: Pertambahan jumlah pengundi di Parlimen Tawau sudah sampai tahap memerlukan pertimbangan bagi mewujudkan kerusi Parlimen baharu di kawasan itu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jumlah pengundi di Tawau yang kini mencecah kira-kira 90,000 orang wajar diberi perhatian dalam kajian persempadanan semula pilihan raya.
Beliau berkata, pertambahan itu menunjukkan keperluan untuk menilai semula keluasan dan kapasiti kawasan parlimen berkenaan supaya rakyat dapat diwakili dengan lebih berkesan.
“Kalau mengikut peraturan, setiap 10 tahun memang perlu ada kajian berkaitan persempadanan pilihan raya.
“Jadi oleh kerana pertambahan pengundi yang semakin meningkat, difahamkan Parlimen Tawau ada 90,000 pengundi manakala di Parlimen Kalabakan kira-kira 80,000 pengundi.
“Namun di peringkat parlimen masih belum ada persempadanan baharu dan masih mengekalkan 222 kerusi parlimen di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, di Dewan Masyarakat Tawau, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, ADUN Tanjung Batu, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Kira-kira 6,000 tetamu turut hadir memeriahkan rumah terbuka berkenaan.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kewujudan kerusi baharu penting supaya wakil rakyat dapat memberi tumpuan kepada isu setempat dan memudahkan urusan pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, jumlah pengundi bagi satu kawasan parlimen sebaiknya sekitar 40,000 hingga 50,000 orang supaya wakil rakyat dapat memberi tumpuan lebih berkesan kepada keperluan rakyat.
“Oleh kerana demikian, saya memikirkan bahawa ada keperluan untuk mewujudkan kawasan Parlimen yang baharu.
“Jadi saya rasa di peringkat Zon 12 ini sekurang-kurangnya satu kawasan parlimen atau dua kawasan parlimen perlu diwujudkan bagi kebaikan rakyat dan kebaikan sesuatu pembangunan di sesuatu kawasan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jentera politik di Zon 12 juga sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain beberapa nama calon sudah dikenal pasti untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 80 asnaf terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan golongan miskin.
