KOTA KINABALU, 24 Mac 2026 — Kerajaan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil, sekali gus mengelakkan gangguan kepada pengguna serta sektor ekonomi negeri.
Perkara itu dizahirkan dalam kunjungan hormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada isu bekalan bahan api di Sabah, khususnya petrol dan diesel, susulan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kehabisan stok yang boleh menjejaskan pengguna serta kelangsungan aktiviti ekonomi negeri.
Armizan dalam pertemuan itu memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan melalui kementeriannya sentiasa komited memastikan bekalan bahan api di negeri ini berada pada tahap mencukupi dan stabil. Menurut beliau, pemantauan rapi serta penyelarasan berterusan bersama agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan, terutama di kawasan luar bandar dan sektor kritikal.
Sementara itu, Hajiji menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah, khususnya sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada penggunaan diesel.
Dalam perkembangan sama, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Salim Fateh Din yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah.
Taklimat itu turut menyentuh inisiatif pembangunan Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City) yang dijangka memperkukuh kecekapan perkhidmatan bandar serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, James Ratib, Ahli SKMM, Zulkifeli Mohd Zin serta pegawai kanan suruhanjaya berkenaan.
