KOTA KINABALU: Penyerahan pelaksanaan projek bekalan air luar bandar (BALB) bernilai kira-kira RM4.06 bilion kepada Kerajaan Negeri Sabah dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh autonomi negeri itu selaras semangat Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, berkata keputusan Kerajaan Persekutuan itu membuktikan kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam mengurus projek pembangunan berskala besar dan kritikal.
Beliau berkata, penyerahan pelaksanaan membabitkan 83 projek itu membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan lebih pantas, tepat dan bersasar, selari dengan keperluan sebenar di lapangan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Langkah ini bukan sahaja membantu mempercepatkan penyelesaian isu bekalan air, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan Sabah dalam menentukan hala tuju pembangunan sendiri.
“Ia juga selaras dengan semangat MA63 yang menekankan hak dan autonomi negeri dalam mengurus hal ehwal pembangunan, termasuk kemudahan asas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan penyerahan pelaksanaan projek berkenaan kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Mengulas lanjut, Samasuddin berkata, fokus utama selepas ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan secara cekap, telus dan berintegriti supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat tanpa kelewatan atau ketirisan.
“UMNO Sabah komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Sabah yang lebih mampan,” katanya.
