NIZAM menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis yang memainkan peranan di sekolah.
TAWAU: Kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman atau sesuatu yang menakutkan sebaliknya sebagai rakan pelindung kepada pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan PPS amat penting dalam membantu memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat, aman dan bebas daripada pelbagai gejala tidak sihat.
Beliau berkata, pelajar perlu menghargai pengorbanan pihak polis yang sanggup turun padang dan bersama-sama warga sekolah demi memastikan persekitaran pembelajaran sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.
“Kita semua sedia maklum bahawa pihak polis mempunyai peranan yang lebih besar namun mereka tetap sanggup bersama warga sekolah untuk memastikan sekolah kita terhindar daripada apa juga gejala yang tidak sihat sama ada yang berlaku di dalam sekolah atau pengaruh dari luar.
“Saya berharap semua pelajar tidak menganggap kehadiran PPS ini sebagai ancaman atau untuk menakutkan mereka sebaliknya melihat mereka sebagai rakan pelindung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Tawau Bagi Tahun 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Sima.
Sebanyak 82 sekolah rendah dan menengah di daerah ini menerima watikah pelantikan berkenaan dengan setiap sekolah diwakili dua anggota polis sebagai PPS.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen erat antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memperkukuh aspek keselamatan sekolah.
“Bagi saya perkara ini cukup baik dan berkesan dalam menangani apa juga gejala sosial, jenayah berat atau ringan supaya dapat dicegah dari peringkat awal dan tidak merosakkan masa depan anak-anak yang belajar di sekolah.
“Secara tidak langsung, ia juga membantu memastikan pendidikan di Tawau terus berada pada landasan yang baik lebih-lebih lagi apabila daerah ini mencatat prestasi cemerlang dalam pencapaian peperiksaan SPM 2025,” katanya.
Beliau turut berharap hubungan baik antara sekolah, ibu bapa dan pihak polis terus diperkukuh supaya semua program yang diatur di peringkat sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
