KUNAK: Komitmen pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan berjaya menjayakan penganjuran Kem STEM Hijau 2026 Daerah Kunak yang dilihat sebagai platform penting dalam melahirkan generasi muda yang proaktif serta inovatif.
Program anjuran Persatuan Pemangkin Pendidikan Generasi Proaktif Kunak itu dirasmikan oleh Dr Andi Md Shamsureezal yang turut memuji inisiatif berkenaan dalam memperkasakan pendidikan luar bilik darjah.
Pengerusinya, Nor Fahejah Rente berkata, walaupun persatuan itu baru ditubuhkan pada 26 Januari lalu dan belum mencecah usia tiga bulan, mereka berjaya meraih kepercayaan pelbagai rakan strategik untuk menjayakan program berimpak tinggi tersebut.
Menurut beliau, penubuhan persatuan itu bertujuan menjadi platform bagi memangkinkan generasi muda melalui pendekatan pendidikan alternatif, pembangunan kemahiran serta peningkatan kesedaran masyarakat khususnya di daerah Kunak.
“Ini bukan satu pencapaian semata-mata, tetapi merupakan permulaan kepada usaha berterusan kami untuk melaksanakan lebih banyak program bermanfaat pada masa akan datang,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Program itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta syarikat swasta seperti SD Guthrie Elaeis Gardens dan TSH Wilmar Sdn Bhd.
Sepanjang kem berkenaan, peserta turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti berasaskan STEM termasuk projek inovasi menggunakan minyak kelapa sawit terpakai, ceramah kesedaran alam sekitar serta perkongsian amalan kelestarian industri.
Nor Fahejah turut berkongsi pengalaman peribadinya dengan para peserta tentang bagaimana STEM diaplikasikan dalam kerjaya beliau sebagai Jurutera Alam Sekitar.
Beliau berharap program seumpama itu dapat memberi pengalaman bermakna kepada pelajar serta memperkukuh minat terhadap pembelajaran berasaskan STEM dan pemeliharaan alam sekitar.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah Puan Nor Rashidah Mohd Ghazali, Pegawai Pendidikan Daerah Kunak Dr Suharpi Lasuddang, wakil Sabah Tourism Board, pegawai kerajaan, guru-guru, pelajar serta rakan media tempatan.
Program itu dijangka menjadi antara pemangkin kepada pembangunan pendidikan berteraskan alam sekitar di daerah Kunak serta menyokong usaha melahirkan generasi yang lebih peka terhadap kelestarian alam.
