Dr. Andi Md Samsureezal (tiga kanan) memotong reben simbolik perasmian majlis berkenaan.
TAWAU: Cadangan pembinaan Pusat Konservasi Gajah (Elephant Sanctuary) antara inisiatif baharu yang dilihat mampu mengangkat daerah ini sebagai destinasi pelancongan utama di Pantai Timur Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md Samsureezal Mohd Sainal berkata, cadangan itu akan dilaksanakan oleh pihak Teck Guan Cocoa Village dan kini sedang melalui proses penilaian kementerian, termasuk penelitian terhadap syarat serta kriteria ditetapkan bagi memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja mampu menambah satu lagi produk pelancongan di daerah ini, malah berupaya menarik lebih ramai pengunjung ke daerah itu.
“Selain daripada mewujudkan satu tarikan pelancongan baharu, kita juga perlu memastikan kebajikan gajah itu sendiri terjaga dan selamat untuk dikunjungi para pelancong.
“Perkara ini telah dibincangkan dan ketika ini kementerian sedang menilai dan menyediakan kriteria dan syarat kepada pihak Teck Guan bagi membina pusat konservasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program An Initiative Of Tawau Tourism Board, di Teck Guan Cocoa Village, di sini, semalam.
Dalam program itu turut dilancarkan video promosi pelancongan Tawau dan beberapa peta pelancongan bagi memperkenal produk dan lokasi menarik di daerah ini.
Mengulas lanjut, Andi berkata, pusat konservasi itu dijangka menempatkan gajah dari Zoo Lok Kawi Kota Kinabalu yang berada dalam jagaan dan kini sedang dalam proses rehabilitasi sebelum dipindahkan ke Tawau mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, pendekatan itu lebih sesuai berbanding mengambil gajah liar dari habitat asal kerana aspek keselamatan pelancong dan kebajikan haiwan perlu diberi keutamaan.
“Benda ini ada proses dan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL). Kebiasaannya, kita hanya akan ambil gajah yang sudah melalui proses rehabilitasi dan sesuai untuk didekati pengunjung.
“Kalau hidupan liar yang masih berada di habitat semula jadi, lebih baik kita biarkan ia terus hidup secara liar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas berhubung kekurangan pemandu pelancong di kawasan Pantai Timur Sabah berikutan masalah pelesenan yang menjadi antara cabaran yang perlu diberi perhatian segera.
Jelasnya, antara faktor yang dikenal pasti adalah kursus pemandu pelancong ketika ini hanya diadakan di Kota Kinabalu dengan kos yang tinggi hingga menyukarkan penyertaan penduduk dari daerah lain.
“Apabila kita buat sesi libat urus dengan pemain industri, kita dapati kursus untuk pemandu pelancong ini hanya dilakukan di Kota Kinabalu dan kosnya juga agak tinggi.
“Sebab itu saya sudah berhubung dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) negeri untuk melihat bagaimana kursus ini boleh dibawa ke Tawau atau sekurang-kurangnya ke Pantai Timur Sabah,” katanya.
Andi berkata, penubuhan Tawau Tourism Society pula dilihat sebagai langkah penting dalam menyatukan pengusaha pelancongan tempatan termasuk hotel, ejen pelancongan dan pengendali produk pelancongan bagi merancakkan promosi Tawau.
Katanya, persatuan itu boleh menjadi platform kepada pemain industri untuk bergabung idea, membentuk kerjasama strategik dan merangka pakej pelancongan yang lebih tersusun untuk pasaran domestik serta antarabangsa.
“Ini satu permulaan yang sangat baik kerana persatuan pelancongan perlu ada terlebih dahulu sebelum kita pergi lebih jauh.
“Dengan adanya kerjasama antara pemain industri, kita boleh sediakan pakej tertentu di Tawau seperti dua hari tiga malam atau tiga hari empat malam, selain merancang promosi ke luar negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Andi berkata, sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini, Sabah merekodkan perkembangan positif apabila kedatangan pelancong meningkat 22 peratus bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, perkembangan itu memberi keyakinan bahawa sasaran empat juta pelancong ke Sabah pada tahun ini mampu dicapai.
“Setakat ini, kemasukan pelancong paling tinggi adalah dari China, namun kita juga berharap lebih ramai pelancong dari negara Eropah datang ke negeri ini tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun dunia berdepan beberapa konflik antarabangsa, setakat ini keadaan itu belum memberi impak signifikan kepada industri pelancongan Sabah.
“Buat masa sekarang, tidak ada impak yang signifikan kepada pemain industri kita. Kami bersama agensi berkaitan sedang memantau perkara ini dan sekiranya ada kesan ketara, kita akan cuba atasi dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Teck Guan Cocoa Village sebagai produk pelancongan yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.
Katanya, lokasi itu sudah memiliki pelbagai komponen penting termasuk muzium, kilang coklat sendiri dan dewan yang mampu menampung jumlah pengunjung yang ramai.
