NIZAM bergambar bersama pelajar cemerlang SMK Titingan Tawau.
TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah terus memperhebat pemantauan terhadap Kod Sukan Selamat di peringkat sekolah atau institusi pendidikan.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Majlis Sukan Negeri sudah diberi kuasa oleh kementeriannya untuk pastikan aktiviti sukan atau pertandingan yang dianjurkan berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Majlis Sukan Negeri sudah diberi kuasa oleh kementerian untuk memastikan setiap sukan yang diadakan di peringkat sekolah atau di bawah pendidikan dapat mengamalkan Kod Sukan Selamat.
“Kita mahu pastikan segala pertandingan yang dianjurkan tidak menyebabkan pelbagai masalah seperti kecederaan ataupun risiko kemalangan yang sudah pasti akan memberi imej yang tidak baik kepada sukan dan sekolah itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Kurikulum (MAIK) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Titingan, di sini, semalam.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada 31 pelajar atas pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 selain satu Anugerah Permata Titingan 2026.
Nizam berkata, SMK Titingan yang merupakan antara 10 sekolah terbaik di Tawau sentiasa menjadi perhatian beliau setiap tahun, khususnya apabila berdepan peperiksaan SPM dan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
“Kita bersyukur apabila pada SPM tahun 2025, sekolah ini berjaya melahirkan dua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang sekali gus mencatat satu pencapaian yang membanggakan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa banyak mata pelajaran khususnya dalam aliran sains telah menunjukkan peningkatan yang sangat baik,” katanya.
Katanya, sekolah itu juga mempunyai kedudukan tersendiri kerana merupakan satu-satunya sekolah menengah kebangsaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas.
