SANDAKAN: Lebih RM1 juta bantuan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah disalurkan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Batu Sapi, setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan tersebut meliputi penyediaan makanan harian selain sumbangan tunai serta barangan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas.
Menurut beliau, hampir RM900,000 telah dibelanjakan bagi penyediaan makanan, manakala Yayasan Kebajikan Negara turut menyalurkan sumbangan cek berjumlah RM200,000 kepada Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
Selain itu, barangan keperluan bernilai RM205,000 juga telah diagihkan kepada mangsa yang terlibat.
“Kami akan menyerahkan sumbangan cek RM200,000 serta barangan bernilai RM205,000. Secara keseluruhan, sumbangan daripada pihak kementerian berjumlah RM505,000, tidak termasuk bantuan makanan harian yang kini hampir mencecah RM900,000,” katanya.
Dalam kejadian pada 19 April lalu, seramai 9,007 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia.
Dalam masa sama, kementerian turut memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan mangsa dengan menggerakkan pelbagai agensi bagi menyediakan sokongan psikososial.
Setakat ini, seramai 262 mangsa telah menerima intervensi psikososial melalui sesi di pusat pemindahan sementara bagi membantu menstabilkan emosi serta mengurangkan kesan trauma.
Nancy berkata, agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara sentiasa bersedia digerakkan bagi memperkukuh bantuan kepada mangsa.
Beliau menegaskan kementeriannya akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah bagi memastikan kebajikan serta keperluan semua mangsa terus diberi perhatian. – Dakwat Rakyat Post
