SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata Program Ziarah Kasih Madani akan diteruskan ke seluruh pelosok kampung termasuk kawasan pulau bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi.Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja memperkukuhkan ukhuwah sesama ummah, malah membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat khususnya dalam aspek pendidikan Islam.Beliau menegaskan pendekatan turun padang amat penting agar kerajaan dapat merasai sendiri denyut nadi rakyat dan tidak hanya bergantung kepada laporan di pejabat.“Kita gerakkan seluruh agensi ehwal agama untuk menyantuni rakyat walaupun sejauh mana, termasuk dari pulau ke pulau. Kita bukan sahaja menyampaikan bantuan, malah melihat keperluan KAFA, pengajian dan pendidikan Islam yang diperlukan penduduk setempat,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Ziarah Kasih Madani dan Ramah Mesra Bersama Komuniti di Kampung Tanjung Aru, pada Selasa.Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada 100 penduduk Kampung Tanjung Aru berjumlah RM10,000 serta RM10,000 lagi kepada Masjid Nurul Iman.Terdahulu, sumbangan sama turut diagihkan di Kampung Pulau Berhala melibatkan 100 penduduk serta masjid di kawasan berkenaan.Kedua-dua sumbangan untuk Kampung Tanjung Aru dan Kampung Pulau Berhala adalah hasil kerjasama Pusat Pungutan Zakat dan Yayasan Takwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.“Insya-Allah ukhuwah ini kita teruskan dan kita mendoakan agar seluruh penduduk kampung diberikan kesihatan, dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan,” tambah beliau. – Dakwat Rakyat Post
