KOTA KINABALU, 1 Mei 2026 – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin, malam tadi menghadiri ceramah perdana oleh pendakwah tersohor dunia, Mufti Menk di Sabah International Convention Centre.
Ceramah bertajuk Broken but Beloved itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 orang, mencerminkan sambutan luar biasa masyarakat terhadap pengisian kerohanian yang disampaikan.
Dalam ceramah selama kira-kira satu jam 30 minit itu, Mufti Menk menzahirkan kekaguman terhadap keindahan negeri Sabah yang disifatkannya sebagai satu anugerah besar daripada Allah SWT. Beliau turut mengingatkan agar keindahan alam semula jadi tersebut dipelihara dengan sebaiknya sebagai tanda kesyukuran kepada-Nya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri Datin Seri Datuk Hajah Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji Yahya bersama isteri; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif; selain beberapa menteri kabinet negeri dan pegawai kanan kerajaan.
Program berkenaan dilihat bukan sahaja memperkukuh nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform penyatuan ummah melalui pengisian ilmu dan dakwah yang menyentuh hati.
