KOTA KINABALU: Yayasan Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Bengkel Konsultasi bersama Pemegang Taruh bagi semakan semula Pelan Pengurusan Strategik Kawasan Konservasi Kanyon Imbak bagi tempoh 2026 hingga 2035.
Bengkel yang berlangsung di Ballroom 1 dan 2, Shangri-La Tanjung Aru itu telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Dr. Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, Pengarah Yayasan Sabah yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas kehadiran dan komitmen dalam menjayakan usaha pemuliharaan tersebut.
Beliau berkata, bengkel itu merupakan platform penting bagi meneliti, membincangkan serta mendapatkan maklum balas konstruktif terhadap pelan strategik yang bakal menjadi panduan utama pengurusan, pemuliharaan dan pembangunan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.
Menurutnya, pelan berkenaan bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju kawasan konservasi tersebut agar kekal relevan, komprehensif dan berkesan.
Sepanjang bengkel yang berlangsung selama dua hari itu, pelbagai pengisian telah diatur melibatkan sesi pembentangan, perbincangan dan pertukaran pandangan antara pemegang taruh. Hari pertama bengkel dimulakan dengan sesi pembentangan berkaitan guna tanah dan perubahan di sekitar Kanyon Imbak, yang memberi gambaran menyeluruh terhadap cabaran dan dinamika semasa kawasan tersebut.
Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) pada tahun 2010 merupakan antara hutan hujan tropika yang masih terpelihara dengan baik di Sabah. Kawasan ini diuruskan oleh Kumpulan Yayasan Sabah dan berfungsi sebagai pusat pemuliharaan biodiversiti, penyelidikan saintifik, pendidikan alam sekitar serta pembangunan ekopelancongan secara mampan.
Kedudukannya sebagai sebahagian daripada Landskap DaMaI bersama kawasan konservasi lain seperti Lembah Danum dan Lembangan Maliau menjadikan kawasan ini antara landskap hutan hujan tropika paling penting di Asia Tenggara dari segi kepelbagaian biologi dan kepentingan ekologi.
Berdasarkan hasil seminar tinjauan hidupan liar dan sumber yang dilaksanakan tahun lalu, kawasan ini menyokong kepelbagaian biodiversiti yang tinggi dengan lebih 175 spesies burung dan lebih 40 spesies mamalia direkodkan, termasuk spesies ikonik seperti orangutan Borneo, gajah kerdil Borneo, tenggiling Sunda dan harimau dahan.
Dalam pada itu, pembangunan ekopelancongan mampan dikenal pasti sebagai antara strategi penting dalam pengurusan kawasan berkenaan yang bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Namun, beberapa cabaran dikenal pasti termasuk akses yang terhad ke kawasan tertentu, kekangan infrastruktur serta keperluan pelaburan yang lebih mampan, sekali gus menuntut kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan.
Gulamhaidar berkata kejayaan pelan strategik tersebut bergantung kepada penglibatan aktif semua pihak, termasuk dalam menyediakan kepakaran saintifik, menyokong penguatkuasaan konservasi, mempromosikan pelancongan bertanggungjawab serta memperkukuh penglibatan komuniti tempatan.
Beliau berharap bengkel itu dapat menghasilkan input berkualiti dan praktikal, termasuk penetapan keutamaan pemuliharaan, pengukuhan strategi penyelidikan, cadangan pembangunan ekopelancongan mampan serta pendekatan lebih inklusif bagi memastikan manfaat turut dirasai komuniti setempat.
Menurutnya, hasil perbincangan itu akan menjadi asas penting dalam memuktamadkan Pelan Pengurusan Strategik Kawasan Konservasi Kanyon Imbak 2026–2035, seterusnya memperkukuh peranan kawasan tersebut dalam Landskap DaMaI.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran bengkel serta peserta yang memberikan komitmen sepanjang program berlangsung.
Majlis perasmian bengkel itu disempurnakan dengan lafaz rasmi sebagai tanda bermulanya usaha bersepadu ke arah memperkukuh pengurusan dan pemuliharaan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak secara berterusan. – DAKWAT RAKYAT POST
