SEMPORNA: Isu bekalan air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria di daerah ini kembali menjadi perhatian apabila penduduk mendakwa berdepan gangguan bekalan air yang tidak menentu sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.
Isu ini mendapat perhatian Sufian Ahmad Kenajaan, selaku Pengerusi Semporna United for Development Movement (SUDM). Menurut Sufian, keadaan itu turut menimbulkan perbandingan dengan PPR Balung di Tawau, apabila sebahagian penghuni mendakwa tahap akses bekalan air di kedua-dua kawasan berkenaan tidak seimbang walaupun berada di bawah kategori perumahan yang sama.
Menurut aduan yang diterimanya, bekalan air di PPR Bubul Ria dikatakan disalurkan hanya beberapa kali seminggu dengan tempoh masa sekitar satu hingga dua jam setiap sesi. Situasi itu menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa menunggu di rumah untuk mengisi bekalan air, selain ada yang terlepas peluang kerana keluar bekerja.
Sebahagian keluarga pula terpaksa membeli tangki simpanan air sendiri mengikut kemampuan, manakala sebahagian lain berdepan kesukaran kerana tidak mampu menyediakan kemudahan tersebut. Keadaan ini menimbulkan kesan langsung kepada rutin harian terutama bagi keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal, warga emas dan pelajar.
Isu berkenaan turut menimbulkan persoalan sama ada masalah tersebut berpunca daripada sistem bekalan air utama atau sistem dalaman PPR termasuk pam, tangki simpanan serta penyelenggaraan paip di setiap blok. Terdapat kemungkinan gangguan berlaku di peringkat loji rawatan air, tekanan paip utama atau sistem agihan, selain faktor teknikal di dalam kawasan PPR seperti pam penggalak dan tangki bangunan yang tidak berfungsi secara optimum.
Keadaan ini menjadikan bekalan air tidak sampai secara konsisten ke setiap unit kediaman walaupun air telah dibekalkan ke kawasan sekitar. Sehubungan itu, satu semakan teknikal menyeluruh dicadangkan agar dilaksanakan melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), pihak pengurusan PPR, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan serta wakil penduduk.
Semakan itu perlu merangkumi aspek tekanan air, sistem pam, tangki simpanan, paip utama dan jadual agihan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan yang berlaku secara berulang. Dalam masa sama, cadangan turut dikemukakan agar bantuan tangki simpanan minimum diberikan kepada unit yang benar-benar memerlukan, khususnya bagi keluarga miskin dan penghuni di tingkat atas.
Isu ini turut mencerminkan cabaran lebih besar dalam pengurusan kemudahan asas di kawasan perumahan rakyat, apabila keperluan asas seperti air bersih masih belum dapat dinikmati secara konsisten oleh sebahagian penduduk.
Dalam kenyataannya juga, beliau berkata:
“Apakah nilai rumah rakyat jika air bersih masih perlu menunggu giliran?Mengapa dua PPR boleh menunjukkan dua realiti yang berbeza dalam bekalan air?PPR bukan hanya bangunan tinggi yang disusun dalam blok-blok. PPR ialah dasar kerajaan yang bertujuan menyediakan tempat tinggal yang lebih tersusun, lebih selamat dan lebih bermaruah bagi rakyat berpendapatan rendah.
Oleh itu, apabila penghuni PPR Bubul Ria Semporna membandingkan keadaan hidup mereka dengan penghuni PPR Balung Tawau, persoalan ini tidak boleh dianggap sepele. Jika kedua-duanya merupakan PPR, mengapa penghuni tidak merasakan akses yang seimbang kepada bekalan air bersih? Persoalan ini bukan untuk menyerang siapapun, tetapi untuk membuka mata bahawa isu air di Semporna sudah lama menjadi beban rakyat biasa.”
Beliau menegaskan isu tersebut perlu dilihat secara adil dan menyeluruh, sama ada berpunca daripada sistem bekalan air awam atau sistem dalaman PPR, serta memerlukan penyelesaian teknikal yang objektif bagi memastikan hak asas penduduk tidak terus terjejas. – DAKWAT RAKYAT POST
