PENAMPANG, 3 Mei 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menahan seorang wanita tempatan selepas didapati positif dadah dalam operasi Ops Pusat Hiburan yang dijalankan awal pagi tadi.
Operasi yang diketuai Ketua BSJND Penampang, ASP Bakar Jasa itu melibatkan pemeriksaan ke atas dua premis hiburan di sekitar daerah ini.
Secara keseluruhan, seramai 38 individu terdiri daripada pekerja dan pengunjung telah diperiksa dalam operasi berkenaan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang wanita tempatan berumur 46 tahun disyaki positif dadah. Suspek kemudian ditahan bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, tindakan tersebut juga penting bagi memastikan premis hiburan sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan belia, supaya menjauhi penyalahgunaan dadah kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan masa depan, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, Sammy menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan daerah tersebut kekal aman, selamat serta bebas daripada aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah.
