KOTA KINABALU: Satu kes pembunuhan kejam melibatkan seorang penuntut kolej wanita berusia 19 tahun yang ditemui dengan 61 tikaman di Kampung Kubang Getah, Ketereh pada Jumaat mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat serta menuntut siasatan menyeluruh dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Mangsa, dikenali sebagai Nurfisya Zulkifly, ditemui terbaring di atas jalan di kawasan sawah. Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan tersebut.
Polis telah menahan dua remaja lelaki berusia 19 tahun di sekitar Ketereh pada malam kejadian bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk permohonan reman.
Keluarga mangsa dari Kuala Kangsar, Perak dilaporkan tiba di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II sekitar jam 8 malam selepas dimaklumkan oleh pihak polis mengenai penemuan mayat tersebut pada awal pagi.
Mengulas kejadian itu, Kefayatullah bin Malik Aman, Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, menyifatkan kes ini sebagai satu jenayah luar batas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Ini bukan sekadar kes bunuh. Ini adalah keganasan melampau, perkara ini perlu diperhalusi dan diteliti dengan mendalam, persoalan tentang punca, pengaruh, dan bagaimana manusia boleh sampai ke tahap sebegini,” tegas beliau.
Beliau turut menuntut agar siasatan dilakukan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada pelaku semata-mata, tetapi merangkumi faktor-faktor yang mendorong kejadian tersebut, termasuk kemungkinan pengaruh sosial, tekanan emosi atau elemen lain yang menyumbang kepada tindakan ganas berkenaan.
“Kita mahu tahu kenapa. Apa yang berlaku di sebalik perbuatan ini? Apa yang mendorong mereka sehingga sanggup menikam mangsa sebanyak itu? Ini bukan perkara biasa,” katanya lagi.
Tambah beliau, ketelusan dalam siasatan amat penting bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa tahap keselamatan awam berada dalam keadaan terkawal.
“Kami mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh dengan segera, telus dan tanpa kompromi. Nyawa seorang anak muda telah diragut dengan cara yang sangat kejam. Keadilan mesti ditegakkan,” ujarnya.Kes ini kini dalam siasatan pihak polis.
Orang ramai diminta memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan, di samping terus memantau perkembangan kes bagi memastikan kebenaran dapat dirungkai sepenuhnya. – DAKWAT RAKYAT POST
