KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Hajiji Noor terus memperlihatkan pelbagai pencapaian yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, merangkumi aspek kebajikan, pembangunan infrastruktur, pendidikan serta pengurusan ekonomi negeri.
Dalam satu kenyataan media Aktivis Politik, Atan Leecas, pelbagai inisiatif dan kejayaan disenaraikan sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Antara pencapaian utama termasuk pelaksanaan pembinaan 50 unit Rumah SMJ bagi setiap DUN setiap tahun, yang dilihat sebagai langkah berterusan membantu golongan memerlukan mendapatkan tempat tinggal lebih selesa dan selamat,” katanya.
Menurut Atan,kerajaan negeri juga mengambil pendekatan tegas terhadap isu resort haram di Semporna, dengan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi memastikan semua pengusaha mematuhi undang-undang serta menjaga kelestarian industri pelancongan negeri.
“Dalam aspek pengurusan kewangan, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Perbandaran Sabah (LPPS) dilaporkan berjaya membayar dividen sebanyak RM1 juta serta menjana hasil caj tanah berjumlah RM3.2 juta, mencerminkan tadbir urus yang lebih cekap dan berintegriti,”
“Selain itu, peruntukan besar sebanyak RM4.06 bilion untuk bekalan air luar bandar turut diumumkan sebagai usaha memastikan akses air bersih diperluaskan ke kawasan pedalaman yang sebelum ini berdepan kekangan,” ujar Atan.
Menurutnya, langkah pewartaan hampir 40,000 ekar tanah bekas konsesi SFI sebagai rizab kampung pula disifatkan sebagai usaha penting dalam menjaga hak tanah rakyat serta menjamin masa depan generasi akan datang.
Katanya, dalam sektor pendidikan, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan biasiswa daripada RM55 juta kepada RM145 juta, dengan penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan berdaya saing.
Kerajaan turut menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat apabila membantu usaha membawa pulang seorang rakyat Sabah yang koma di Vietnam, selain menyediakan saguhati sehingga RM20,000 kepada mereka yang terkesan dengan projek Lebuhraya Pan Borneo, walaupun tiada pampasan daripada kerajaan Persekutuan.
Sumbangan sektor korporat juga terus diperkasa apabila Sabah Softwood Berhad menyalurkan RM1 juta kepada Yayasan Kebajikan Sabah dan RM300,000 kepada Majlis Sukan Negeri, mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Di peringkat strategik, kejayaan penjajaran semula sempadan di Pulau Sebatik yang menambah kira-kira 780 hektar wilayah negara dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam aspek kedaulatan dan kepentingan geopolitik negeri.
Kerajaan turut memperuntukkan RM559.85 juta kepada sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai langkah memperkukuh sekuriti makanan dan ekonomi luar bandar.
Dalam masa sama, usaha menuntut hak Sabah termasuk isu 40 peratus hasil negeri terus diperjuangkan melalui rundingan dan pendekatan berfakta.
Program kebajikan seperti Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluaskan kepada 140,000 penerima dengan peruntukan RM339.16 juta, manakala inisiatif KIR e-Kasih menawarkan rebat RM40 serta diskaun tarif elektrik antara 10 hingga 20 peratus bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Kerajaan negeri juga melaksanakan Pelan Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang memberi fokus kepada daerah pengeluaran makanan seperti Tenom, Keningau, Nabawan, Tongod dan Tambunan bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 90 unit Rumah SMJ turut diserahkan kepada penduduk di Pantai Manis sebagai sebahagian daripada kesinambungan dasar perumahan rakyat.
Kerajaan turut merancang penubuhan Majlis Pengurusan Krisis bagi menghadapi fenomena El Niño serta kesan geopolitik global, termasuk konflik di Timur Tengah yang boleh memberi kesan kepada harga makanan.
Selain itu, sumbangan RM200,000 oleh Nancy Shukri kepada Yayasan Kebajikan Negeri Sabah dilihat sebagai tanda kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Secara keseluruhannya, kerajaan Sabah menegaskan bahawa pelbagai inisiatif yang dilaksanakan ini membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan keperluan rakyat. – DAKWAT RAKYAT POST
