TAWAU: Padah memandu di bawah pengaruh alkohol, dua individu termasuk seorang wanita dikenakan hukuman denda keseluruhan RM26,500 dan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
Tertuduh, Feaiddie Yap Tong Nei, 40, dan Sharifah Mahani Saidseh, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut kertas pertuduhan, Feaiddie yang memandu kereta jenis Audi A4 didapati melakukan kesalahan dengan kandungan alkohol 85 miligram (mg) dalam badan ketika ditahan di Jalan Kuhara kira-kira jam 1 pagi pada 16 Mei lalu.
Bagi kes itu, dia yang bekerja sebagai ejen pelancongan dikenakan denda RM15,000 dan penjara dua hari, selain berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Sementara itu, Sharifah Mahani yang memandu Toyota Hilux pula didapati melakukan kesalahan di Jalan Shim Hwa Seng kira-kira jam 1.15 pagi pada 26 April lalu dengan kandungan alkohol 142 mg dalam badan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM11,500 dan penjara satu minggu, selain penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Kedua-dua tertuduh turut dikenakan penggantungan lesen memandu selama dua tahun mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
