KOTA KINABALU: Aktivis politik, Atan Leecas mengkritik tindakan segelintir mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang didakwa cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan operasi merobohkan penempatan haram sehingga disifatkan mencemarkan imej institusi pengajian tinggi itu.
Menerusi satu kenyataan media, beliau berkata mahasiswa sepatutnya bertindak berasaskan ilmu, fakta, undang-undang dan kematangan, bukannya dipengaruhi sentimen politik atau kepentingan pihak tertentu.
Menurutnya, golongan mahasiswa merupakan bakal pemimpin masyarakat dan negara yang perlu menunjukkan integriti serta kebijaksanaan dalam menangani sesuatu isu.
“Atan Leecas berkata, tindakan sesetengah mahasiswa yang turun menjadi benteng politik kepada pihak tertentu sehingga cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar perjuangan intelektual atau sekadar menjadi alat agenda politik.
“Mahasiswa perlu bertindak matang dan bijak. Mereka dipilih memasuki institusi pendidikan tinggi kerana masyarakat berharap mereka menjadi rakyat yang berilmu dan berintegriti, bukannya mudah dipergunakan demi kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi boleh membawa implikasi undang-undang termasuk di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan menghalang penjawat awam, selain beberapa peruntukan lain di bawah Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, isu berkaitan tanah kerajaan di Sabah juga perlu difahami dari sudut perundangan termasuk Ordinan Tanah Sabah yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri mengurus serta mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah.
“Tanah kerajaan yang diduduki tanpa hak tetap dianggap pencerobohan walaupun sudah bertahun-tahun didiami. Sebab itu mahasiswa perlu mengkaji fakta dan akta terlebih dahulu sebelum bertindak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan mahasiswa agar tidak mudah dipergunakan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik sehingga menjejaskan masa depan sendiri.
Katanya, negara memerlukan mahasiswa yang mampu menjadi pencetus penyelesaian dan bertindak dengan ilmu serta kematangan, bukannya menjadi “boneka politik jalanan”. – DAKWAT RAKYAT POST
