Kampala: Kumpulan tarian terkenal Uganda, Ghetto Kids tidak dapat menyembunyikan keterujaan selepas dipilih superstar Colombia, Shakira untuk membuat persembahan pada aksi final Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.
Kumpulan yang dianggotai kanak-kanak jalanan itu menjadi pilihan pertama Shakira untuk menyertai persembahan separuh masa selepas video tarian mereka tular di media sosial.
Malah, penyertaan mereka bermula selepas menyahut cabaran Shakira yang meminta peminat menghantar klip tarian sempena lagu rasmi baharu Piala Dunia.
Seorang anggota termuda kumpulan itu, Busingye Josephine Daniella yang berusia lapan tahun berkata, mereka kini tidak sabar untuk menunjukkan bakat kepada seluruh dunia.
“Kami tak sabar mahu tunjuk kepada dunia siapa kami sebenarnya,” katanya.
Ghetto Kids diasaskan di Kampala menerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan seni tarian dan persembahan untuk membantu kanak-kanak yatim serta terbiar.
Kumpulan itu sebelum ini sudah memiliki pengikut antarabangsa hasil video tarian jalanan mereka selain pernah muncul dalam program popular, America’s Got Talent.
Bagaimanapun, peluang membuat persembahan di final Piala Dunia yang dijangka ditonton lebih satu bilion penonton disifatkan sebagai peluang terbesar dalam hidup mereka.
“Kami sangat teruja dapat membuat persembahan bersama Shakira,” kata seorang lagi anggota kumpulan itu, Ssegirinyi Madwanah, 16.
Pengasas Ghetto Kids, Kavuma Dauda yang juga bekas kanak-kanak jalanan berkata, perhatian dunia terhadap kumpulan itu diharap dapat membantu usaha mengumpul dana bagi membina pusat pendidikan dan pemulihan untuk kanak-kanak.
“Kami ada impian besar. Ini peluang sangat besar untuk Ghetto Kids, untuk saya dan juga semua kanak-kanak ini,” katanya. FFP/Harian Metro
