“Mesej saya jelas kepada semua agensi dan institusi kewangan kerajaan, cari jalan turun kepada rakyat. Jangan tunggu mereka datang ke pejabat memohon bantuan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dengan tegas.
Susunan ayatnya cukup tersurat dan tersirat. Ketika negara sedang mengambil pelbagai langkah strategik dan terancang untuk menangani dilema di Asia Barat, setiap minggu Anwar yang juga Menteri Kewangan cukup komited pegangannya untuk membela harapan rakyat.
Dari satu sudut lain pula, ada kumpulan sedang giat mempermainkan gerakan politik secara ‘desperado’ untuk meraih sokongan. Setiap kenyataan mereka dikeluarkan mesti ada ungkapan ‘rakyat’, ‘demi rakyat’, ‘perubahan’ dan segala ‘bunga-bunga’ bahasa politik.
Namun, Anwar terus melangkah untuk memperkasakan ekonomi rakyat, termasuk kumpulan usahawan kecil dan sederhana.
Baru-baru ini beliau mengarahkan semua agensi pembangunan usahawan mempergiat usaha turun padang bagi mengenal pasti sendiri keperluan rakyat dan golongan peniaga kecil khususnya golongan belia.
Katanya, pendekatan turun padang dan tidak hanya menunggu di pejabat, amat penting bagi memastikan setiap bantuan, pembiayaan dan program kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar serta mampu menyelesaikan masalah rakyat pada peringkat akar umbi.
Beliau membangkitkan isu sama pada mesyuarat Kabinet dan sehari selepas itu memanggil semua agensi terbabit khususnya Bank Rakyat, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank, Agrobank ke pejabatnya untuk mesyuarat susulan.
Setiap langkah disusuli dengan langkah susulan. Ketika dunia berdepan krisis Asia Barat, dalam tempoh beberapa bulan ini Perdana Menteri mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, termasuk kumpulan usahawan.
Beliau mengarahkan semua agensi menawarkan bantuan kepada peniaga kecil, khususnya dalam aspek pinjaman supaya menggiatkan usaha turun padang ke lokasi perniagaan mereka bagi menguar-uarkan kemudahan ditawarkan.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting kerana beliau mendapati masih ada peniaga kecil tidak tahu manfaat pinjaman dan bantuan ditawarkan agensi kerajaan, walaupun kemudahan itu sangat meluas di negara ini.
Tegurannya cukup tajam, mendalam dan perlu dinilai dari sudut harapan suara usahawan serta rakyat pada peringkat akar umbi. Pemimpin politik jangan hanya sibuk cakap pasal politik, Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Ada masa lagi. Rakyat di bawah memang susah.
Beliau berkata, langkah turun padang agensi berkaitan juga perlu dilaksanakan selepas laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati kemudahan pinjaman adalah meluas di negara ini, tetapi tidak diketahui atau dimanfaatkan golongan sasar.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion tahun ini untuk membantu peniaga kecil dan usahawan mikro.
Pembiayaan mikro ini dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000.
Yang menjadi persoalan, cabaran dan rintangan dalam sistem penyampaiannya. Ramai peniaga kecil terlalu ‘fobia dokumen’ dengan sistem pemprosesan di bank.
Peniaga kecil tidak memohon berjuta-juta ringgit. Sekiranya program pembiayaan direncana khas untuk usahawan kecil, sudah tentu ia satu laluan khas diusahakan untuk membantu usahawan.
Mereka tidak menuntut kelulusan ‘tutup mata’, tetapi perlu ada kerjasama dan sokongan harmoni. Jangan biarkan mereka menunggu lama atau permohonan ‘tersidai’ lama.
Inilah kelemahan perlu diatasi segera. Tidak dinafikan tidak ada usahawan ingin maju, tetapi berdepan isu CT0S, CCRIS. Inilah satu lagi dilema usahawan perlu ditangani secara baik dan tertib.
Seharusnya menteri berkaitan dan agensi yang terbabit mencontohi langkah drastik Perdana Menteri. Peniaga kecil dan sederhana perlukan bimbingan dan bantuan.
Dalam era ekonomi semakin mencabar dan kompetitif, pembangunan usahawan menjadi antara agenda penting bagi memastikan keseimbangan ekonomi negara terus diperkukuhkan.
Usahawan kecil dan sederhana tidak memilih agama dan kaum. Mereka memainkan peranan menjana ekonomi keluarga, malah turut menjadi pemangkin peluang pekerjaan, pembangunan sosial serta mobiliti ekonomi generasi muda.
Sementara itu, hala tuju utama usahawan perlu bergerak ke arah perniagaan lebih moden, inovatif dan berdaya saing. Jika dahulu ramai tertumpu kepada perniagaan tradisional berskala kecil, kini generasi baharu perlu berani meneroka bidang ekonomi digital, teknologi, kecerdasan buatan (AI), e-dagang, tenaga hijau serta industri kreatif.
Usahawan juga perlu membina jenama sendiri yang mampu menembusi pasaran antarabangsa, mempunyai kekuatan besar dari segi rangkaian global, budaya perniagaan dan kemahiran profesional yang boleh dimanfaatkan memperluaskan peluang ekonomi.
Akhirnya, sekali lagi isu kritikal ialah kesukaran mendapatkan modal permulaan dan pembiayaan perniagaan. Ramai usahawan kecil sukar memenuhi syarat ketat institusi kewangan, terutama yang baru memulakan perniagaan atau tidak mempunyai rekod kewangan kukuh.
Sebahagian usahawan masih bergantung kaedah perniagaan konvensional dan kurang memanfaatkan platform digital. Dalam dunia pascapandemik, penggunaan teknologi dan pemasaran digital menjadi keperluan asas untuk kekal relevan.
Masih wujud persepsi dalam kalangan sebahagian masyarakat perniagaan bidang berisiko tinggi. Sikap takut gagal menyebabkan ramai anak muda kurang yakin menceburi bidang keusahawanan.
Kerajaan dan semua agensi terbabit perlu melihat keusahawanan sebagai kerjaya profesional yang mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan.
Kisah kejayaan usahawan tempatan perlu diketengahkan bagi memberi inspirasi kepada generasi muda. Jangan kita terlalu syok sendiri bermain dengan angka sahaja.
Semua bantuan dan kemudahan kepada kumpulan usahawan perlu disepadu. Masa depan usahawan bergantung kepada keberanian untuk berubah, berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi semasa.
Cabaran dihadapi sememangnya besar, namun dengan sokongan dasar tepat, pembangunan bakat dan semangat keusahawanan kuat, kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Jika pembangunan usahawan terus diperkasakan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Penulis: Datuk Anbumani Balan, Penganalisis politik dan perunding media.
Kredit sumber: Berita Harian
