PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan mengumumkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara rundingan berhubung tuntutan hak kewangan negeri di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan terus dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan hak kewangan Sabah dilaksanakan secara adil dan tidak lagi ditangguhkan atas alasan kekangan kewangan.
Menurut beliau, kaedah serta jadual pelaksanaan bayaran interim itu akan diperincikan oleh jawatankuasa berkaitan sebelum dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan negeri dan Persekutuan untuk dimuktamadkan.
“Sama ada dibuat pada Jun atau Disember, itu soal yang harus diputuskan oleh kedua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi serta rundingan antara Persekutuan dan negeri.
“Tetapi untuk sekarang, interim yang sebelum ini RM600 juta, hari ini saya umumkan ia meningkat kepada RM1.5 bilion. Saya tegaskan bahawa ini adalah bayaran interim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan tidak lagi boleh menggunakan alasan kewangan untuk menangguhkan pelaksanaan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Perkara 112D yang menyentuh pemberian khas kepada Sabah perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang praktikal dan berkesan melalui kerjasama erat antara Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Walaupun kita tahu Perkara 112D itu mempunyai syarat tertentu berdasarkan keadaan kewangan semasa, tetapi jika alasan yang sama digunakan 10 tahun lalu, sekarang dan mungkin 20 tahun akan datang, ia tidak lagi meyakinkan.
“Sebab itu saya beritahu rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa kita tidak boleh lagi menggunakan alasan tersebut. Kita mesti mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi merangka mekanisme pelaksanaan yang lebih terperinci.
“Isunya bukan lagi soal dasar. Buat pertama kali, Kerajaan MADANI menetapkan bahawa pelaksanaan hak Sabah di bawah Perkara 112D adalah dasar kerajaan yang mesti dilaksanakan tanpa sebarang pertikaian,” katanya.
Pengumuman peningkatan bayaran interim itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha menyelesaikan isu tuntutan hak kewangan Sabah yang telah dibangkitkan sejak sekian lama, selain memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Proses rundingan lanjut dijangka diteruskan bagi menentukan formula terbaik pelaksanaan pemberian khas tersebut selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – DAKWAT RAKYAT POST
