NIZAM
KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan pendekatan rundingan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bersama Kerajaan Persekutuan berjaya membawa hasil positif kepada negeri itu.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkembangan itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sabah, khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, peningkatan bayaran interim itu sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri gagal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.
“Pengumuman ini membuktikan bahawa pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang mengutamakan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, membawa hasil yang nyata.
“Perjuangan hak Sabah bukan sekadar diukur melalui retorik politik atau kenyataan beremosi, sebaliknya berdasarkan pencapaian dan manfaat yang dapat dinikmati rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata, usaha memuktamadkan tuntutan hak Sabah di bawah MA63 memerlukan penelitian mendalam kerana membabitkan pelbagai aspek termasuk perundangan, fiskal dan pentadbiran.
Menurutnya, rundingan yang sedang berlangsung memerlukan kesabaran serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelesaian yang dicapai dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan.
Katanya, GRS memilih pendekatan yang tegas dalam mempertahankan hak Sabah, namun pada masa sama mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan proses rundingan dapat diteruskan.
“Pendekatan ini membuka ruang penyelesaian yang lebih konstruktif dan akhirnya membolehkan Sabah memperoleh peningkatan bayaran interim yang lebih besar sementara formula muktamad sedang diperhalusi.
“Walaupun bayaran interim RM1.5 bilion ini bukan penyelesaian akhir, ia merupakan petunjuk jelas bahawa tuntutan Sabah terus diberi perhatian dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah kini bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu pemuktamadan mekanisme pelaksanaannya.
Menurutnya, perkembangan itu adalah antara pencapaian penting dalam sejarah perjuangan menuntut hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63.
“Rakyat Sabah perlu melihat perkara ini secara adil kerana kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri. Rundingan terus berjalan, tuntutan terus dibawa dan hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat.
“Dalam isu sebesar ini, kerajaan perlu memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar kukuh, boleh dilaksanakan dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah,” katanya.
Nizam berkata, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan secara segera, telus dan adil selaras dengan semangat MA63.
Beliau menegaskan pengumuman peningkatan bayaran interim itu membuktikan pendekatan rundingan yang dipilih GRS adalah strategi yang berkesan dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.
“Perjuangan hak Sabah memerlukan keberanian dan kebijaksanaan. Ketegasan perlu disertai strategi, manakala suara rakyat perlu diterjemahkan kepada hasil yang nyata, bukan sekadar slogan,” katanya.
