Dr Andi Md Shamsureezal (tengah) melakukan gimik perasmian sempena Majlis Penutupan Like Fest Kaamatan Peringkat Daerah Tawau yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau.
TAWAU: Sambutan Pesta Kaamatan berpotensi muncul sebagai antara produk pelancongan utama Sabah dalam usaha menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, berkata keunikan budaya serta kepelbagaian aktiviti yang diketengahkan sepanjang sambutan Kaamatan mampu menjadi daya tarikan tersendiri kepada pelancong untuk berkunjung ke Sabah.
Beliau berkata, penganjuran program seperti Like Fest Kaamatan yang menggabungkan elemen kebudayaan, keusahawanan, hiburan dan riadah turut berupaya memperkukuhkan kedudukan Kaamatan sebagai acara pelancongan berimpak tinggi.
“Selain merancakkan ekonomi setempat, penganjuran Like Fest Kaamatan juga bertujuan menarik pelancong dari daerah lain di Sabah serta luar negeri untuk datang ke Tawau.
“Kita menerima maklumat terdapat pelancong dari Sarawak, Brunei dan beberapa kawasan lain yang hadir ke program ini. Ini menunjukkan sambutan Kaamatan mempunyai daya tarikan tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Like Fest Kaamatan Peringkat Daerah Tawau, di sini, pada Ahad.
Dr Andi berkata, kedudukan strategik Tawau yang berhampiran Indonesia dan Filipina turut membuka peluang besar untuk mempromosikan sambutan Kaamatan kepada pelancong dari negara jiran.
Menurutnya, kedua-dua negara berkenaan merupakan antara pasaran pelancongan yang berpotensi untuk diterokai secara lebih agresif berikutan faktor geografi yang dekat dengan Sabah.
“Indonesia dan Filipina antara sasaran utama kita kerana kedudukannya yang hampir dengan Sabah. Sambutan Kaamatan boleh dijadikan salah satu produk pelancongan budaya yang mampu menarik kehadiran pelancong dari negara-negara berkenaan.
“Melalui promosi yang berterusan, kita yakin lebih ramai pelancong akan datang untuk melihat sendiri keunikan budaya dan tradisi masyarakat di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pelancongan budaya kini semakin mendapat perhatian pelancong yang mahu merasai pengalaman autentik selain memahami warisan dan identiti sesebuah destinasi.
Sehubungan itu, katanya, sambutan Kaamatan perlu terus diperkasakan dan dipromosikan sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
Dalam pada itu, beliau berharap sebahagian daripada peningkatan bayaran interim kepada Sabah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh infrastruktur serta promosi pelancongan negeri.
“Kita perlu menambah baik kemudahan pelancongan dan memperhebatkan promosi di dalam serta luar negara supaya lebih ramai pelancong memilih Sabah sebagai destinasi percutian mereka.
“Dengan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Sabah yang akan datang, ini adalah masa terbaik untuk memperkenalkan keunikan budaya Kaamatan kepada dunia,” katanya.
