Nizam (tengah) menerima cenderakenangan daripada pihak penganjur.
TAWAU: Umat Islam diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh atau mempercayai mana-mana ajaran agama yang meragukan tanpa membuat semakan dengan pihak berkuasa agama yang diiktiraf.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, masyarakat perlu mengamalkan konsep tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu sesuatu perkara bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan ajaran yang menyeleweng daripada akidah Islam.
Menurutnya, sebarang keraguan berkaitan sesuatu fahaman atau kumpulan agama perlu dirujuk kepada institusi agama yang mempunyai autoriti sebelum membuat keputusan untuk menyertainya.
“Jangan mudah terpedaya atau terus mempercayai sesuatu ajaran hanya kerana ia disampaikan atas nama agama.
“Sebaliknya, kita perlu membuat semakan dan mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berautoriti. Jika tidak mempunyai pengetahuan berkaitan sesuatu perkara, rujuklah kepada pihak yang lebih arif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Perdana sempena Ambang Muharam 1448 Hijrah di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Balung, di sini malam tadi.
Mengulas penahanan kira-kira 300 individu yang dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani dalam satu operasi penguatkuasaan di Kota Kinabalu baru-baru ini, Nizam berkata, kejadian berkenaan perlu dijadikan pengajaran kepada seluruh umat Islam.
Katanya, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak menerima bulat-bulat sesuatu fahaman tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak yang bertanggungjawab.
“Di Sabah, kita mempunyai pelbagai institusi agama yang boleh dijadikan rujukan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pejabat Mufti Negeri Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Selain itu, masyarakat juga boleh mendapatkan pandangan daripada guru agama, ustaz dan pendakwah yang diiktiraf supaya tidak terjerumus dalam ajaran yang telah difatwakan sesat di negeri ini atau di negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak program berbentuk keagamaan dapat dianjurkan khusus untuk golongan muda bagi memperkukuhkan kefahaman dan pegangan mereka terhadap Islam.
Menurutnya, program seperti forum agama, ceramah dan majlis ilmu mampu menjadi benteng kepada generasi muda daripada terpengaruh dengan budaya tidak sihat serta fahaman yang boleh menjejaskan akidah.
“Jika generasi muda diterapkan dengan nilai agama dan ilmu yang betul, mereka bukan sahaja dapat menjadi insan yang berjaya di dunia, malah memperoleh kejayaan di akhirat.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi turut memiliki nilai iman dan ihsan yang tinggi dalam kehidupan mereka,” katanya.
