BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Rabu malam mengumumkan rombakan Kabinet dengan melantik dua puteranya sebagai menteri.
Putera kedua baginda, Pengiran Muda Abdul Malik dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala putera ketiga, Pengiran Muda Abdul Mateen dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar.
Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah pula kekal sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selain memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.
Sultan Hassanal Bolkiah, 79, akan terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri sambil memegang portfolio Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
Pelantikan turut melibatkan tiga jawatan Menteri Penyelaras.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara akan bertanggungjawab menyelaras dan memperkukuh usaha semua kementerian dalam melindungi keselamatan negara.
Selain itu, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi akan menyelaras usaha kepelbagaian ekonomi bersama kementerian yang menerajui sektor keutamaan.
Sementara itu, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia pula bertanggungjawab menyelaras kementerian dalam aspek dasar sosial negara, pembangunan modal insan, isu pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan turut disusun semula dan dinamakan semula sebagai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Langkah ini bertujuan mempercepat pembangunan sektor keutamaan serta memperkukuh usaha kepelbagaian ekonomi, sekali gus memastikan pertumbuhan mampan dan peluang pekerjaan yang berkualiti.
Pelantikan berkenaan berkuat kuasa pada Khamis, 4 Jun 2026 untuk tempoh empat tahun.
Baginda turut menyeru barisan Kabinet baharu agar berkhidmat sebagai satu pasukan, memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, mendengar kebimbangan mereka serta bertindak dengan pantas dan berintegriti demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Untuk rekod, rombakan Kabinet terakhir di Brunei dilakukan pada 2022.
Kredit sumber: Astro AWANI
