TAWAU: Dua pekerja sebuah syarikat perlombongan emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh kawasan tanah milik syarikat lain dengan niat mengganggu operasi pekerja, Mei lalu.
Tertuduh, Chok Kat Leong, 65, dan Romuald Peter, 36, masing-masing bekerja sebagai penyelia dan juruukur kanan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Southsea Gold Sdn Bhd dengan niat mengganggu operasi pekerja syarikat berkenaan, jam1.30 petang, 22 Mei lalu
Mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin berbeza.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Jun depan.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly.
