LAWAS: Lawas berpotensi muncul sebagai pemangkin kepada koridor ekonomi baharu yang menghubungkan Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimantan, sekali gus memperkukuh kedudukan bahagian utara Sarawak sebagai hab strategik pembangunan serantau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lokasi strategik Lawas serta hubungan erat yang terjalin dengan wilayah jiran membuka ruang besar kepada pertumbuhan perdagangan, pelaburan dan pelancongan rentas sempadan.
“Lawas berpotensi sebagai pintu masuk perdagangan, pelaburan dan koridor sektor pelancongan.Ini boleh kita buat dan inilah yang kita nak pelajari nanti. Kita mempunyai hubungan yang amat rapat dengan negara Brunei Darusalam dengan Indonesia kita mempunyai hubungan yang begitu rapat bukan melangkaui hubungan rasmi kerajaan (G to G).
“Dari segi kekeluargaan kita mempunyai hubungan keluarga yang begitu besar dari dulu lagi hingga kini,” katanya ketika merasmikan pembukaan Le Papa Hypermarket dan Roxy Hotel Lawas di Jalan Lawas-Merapok pada Sabtu.
Menurut Awang Tengah, hubungan kukuh antara Sarawak dengan Brunei serta Indonesia bukan sahaja terjalin di peringkat kerajaan, malah diperkukuh melalui ikatan kekeluargaan dan hubungan masyarakat yang telah lama wujud di kawasan sempadan.
Jelas beliau, kekuatan itu menjadi asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan wilayah utara Sarawak yang kini menerima pelbagai inisiatif pembangunan di bawah strategi pembangunan yang digariskan Kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau optimis pendekatan pembangunan yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mampu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pelaburan, sekali gus mempercepat pembangunan di kawasan utara negeri ini.
“Keyakinan pelabur terhadap dasar dan strategik pembangunan di Sarawak telah membuka ruang kepada pembangunan berkembang hingga ke utara negeri ini, segala potensi yang ada dari segi kelestarian alam semula jadi dan produk tempatan yang menjadi latar belakang pembangunan Sarawak telah mampu mengamit keyakinan pelabur untuk menjadikan utara Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang menguntungkan.
“Hari ini begitu signifikan sekali bagi kita khususnya di Lawas kerana melibatkan pelaburan besar oleh sektor swasta dengan pelancaran LePapa Hypermarket. Ini bermakna sektor swasta mempunyai impak positif dan optimistik terhadap pembangunan ekonomi potensi yang ada dan kawasan utara Sarawak dan sekitarnya. Ini menunjukkan keyakinan sektor swasta terhadap dasar dan strategi kerajaan membangunkan negeri ini,” katanya.
Projek LePapa Lawas melibatkan pelaburan bernilai RM150 juta bagi pembinaan pasaraya LePapa, Hotel Roxy dan 150 unit aparmen adalah simbol keyakinan pelabur daripada luar terhadap potensi pembangunan ekonomi di rantau utara negeri ini.
Kredit sumber: TV Sarawak
