KUCHING, 14 Jun: Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan bakal membentuk rangkaian grid tenaga serantau dikenali sebagai Borneo Grid sebagai sebahagian usaha merealisasikan ASEAN Power Grid.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu akan menghubungkan sistem bekalan tenaga di Borneo sebelum disambungkan ke negara-negara ASEAN lain pada masa akan datang.
“Di bawah ASEAN Centre for Energy (ACE) yang berpangkalan di Jakarta, peranan utama adalah untuk mengharmonikan semua standard berkaitan bekalan tenaga rentas sempadan.
“Untuk ASEAN Grid di rantau ini, Sarawak telah dihubungkan ke Kalimantan Barat dan Sabah, manakala sambungan ke Brunei sedang diusahakan. Kelak, Sarawak, Kalimantan, Sabah dan Brunei akan membentuk Borneo Grid yang seterusnya dihubungkan ke Indonesia dan Filipina,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil, di sini, hari ini.
Menurutnya, rangkaian ASEAN Grid yang dirancang turut melibatkan sambungan dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia melalui Johor sebelum disalurkan ke Singapura.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, tempoh pelaksanaan projek berkenaan bergantung kepada tahap kesiapsiagaan dan kemampuan setiap negara dalam menaik taraf sistem grid masing-masing.
“Di Semenanjung Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memberi komitmen untuk melabur kira-kira RM42 bilion sehingga tahun 2028 bagi menaik taraf keseluruhan sistem grid termasuk kepada sistem 500 kilovolt (kV),” ujarnya.
Beliau berkata, sistem grid di Sarawak juga perlu terus dinaik taraf dari semasa ke semasa bagi menyokong pelaksanaan rangkaian tenaga serantau tersebut.
Mengulas projek kabel dasar laut yang akan menghubungkan Sarawak dengan Johor, Fadillah berkata, kajian laluan masih belum dapat dimulakan sepenuhnya kerana masih menunggu kelulusan Indonesia, memandangkan sebahagian laluan kabel tersebut melalui perairan negara berkenaan.
Kredit sumber: TV Sarawak
