NARATHIWAT (THAILAND): Taktik sindiket menyembunyikan lebih 400,000 pil kuda dan 180 kilogram (kg) ganja mampat dalam sebuah pikap terbongkar apabila pihak berkuasa Thailand merampas bahan terlarang itu dalam operasi khas di Daerah Waeng, kelmarin.
Rampasan terbesar yang direkodkan Pusat Operasi Anti-Narkotik Daerah Waeng tahun ini turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai terlibat dalam rangkaian penyeludupan dadah rentas sempadan.
Jurucakap Pusat Operasi Anti-Narkotik Daerah Waeng berkata, operasi kira-kira pukul 3 petang itu dijalankan susulan maklumat risikan yang diperoleh Pusat Pemeriksaan Kastam Daerah Sungai Golok berhubung aktiviti penyeludupan dadah ke kawasan sempadan.
Katanya, maklumat tersebut kemudian dikongsi dengan polis dan Pusat Operasi Anti-Narkotik Daerah Waeng untuk mengesan suspek serta lokasi penyimpanan dadah.
“Sepasukan anggota operas menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah dan beberapa laluan yang disyaki digunakan sindiket.
“Serbuan awal di sebuah rumah tidak menemukan sebarang dadah, namun anggota operasi kemudian mengesan sebuah pikap tertutup yang bergerak menuju ke Daerah Sungai Golok dan Daerah Tak Bai,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jurucakap itu berkata, pemeriksaan terhadap pikap yang lazimnya digunakan untuk mengangkut barangan runcit itu menemukan 13 kotak kadbod yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan beberapa bungkusan yang dibalut dengan aluminium dan plastik mengandungi lebih 400,000 pil kuda serta lebih 180 kg ganja mampat.
“Keseluruhan dadah terbabit bernilai lebih 12 juta baht (RM1.49 juta) dan dipercayai akan dihantar kepada anggota sindiket di Daerah Sungai Golok dan Tak Bai sebelum diseludup ke negara jiran,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata, suspek diserahkan kepada Balai Polis Waeng untuk berdepan pertuduhan memiliki narkotik Kategori 1 dengan niat untuk menjual.
Kredit sumber: UTUSAN
