Isu penggunaan rokok elektronik atau vape kembali menjadi perhatian serius apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengulangi pendirian menyokong pengharaman menyeluruh penggunaan alat ‘menyedut kenikmatan’ itu.
Kebimbangan ini bukan lagi bersifat andaian, sebaliknya berpaksikan perkembangan baharu apabila PDRM mendapati vape digunakan sebagai alat menghisap dadah formula atau menjadi medium campuran dadah sintetik seperti ‘Piu Piu’ mengandungi campuran Fentanyl dan bahan psikoaktif lain.
Menurut kenyataan PDRM, bahan ini mampu memberikan kesan khayal melampau sehingga penggunanya berada dalam keadaan seakan-akan ‘zombie’. Salah guna vape untuk menghisap dadah ini diketahui menjadi antara punca kes kemalangan jalan raya membawa maut.
Lebih membimbangkan, vape kini bukan sekadar isu gaya hidup atau alternatif merokok, tetapi menjadi alat penyamaran baharu sindiket dadah. Sudah tentu ada sindiket yang mengambil kesempatan dalam hal ini.
Dalam konteks perundangan sedia ada, Akta Racun 1952 sebenarnya menyediakan kerangka kawalan terhadap bahan berbahaya yang boleh disalahgunakan.
Namun, perkembangan teknologi produk vape dan kepelbagaian cecair digunakan mencipta kelompangan yang mudah dieksploitasi dan dimanipulasi.
Sebahagian kerajaan negeri mengambil langkah lebih berani dengan mengharamkan penjualan vape. Tindakan ini mencerminkan kesedaran isu ini bukan semata-mata soal hasil cukai atau peluang perniagaan, tetapi menyentuh keselamatan dan kesihatan generasi muda.
Namun, pendekatan berbeza antara negeri dan kekurangan dasar menyeluruh pada peringkat nasional menimbulkan ketidakseimbangan boleh melemahkan keberkesanan penguatkuasaan. Isu lebih asas perlu dinilai ialah sama ada kita bersedia mengambil pendirian tegas secara menyeluruh bagi menangani penyalahgunaan dadah menggunakan vape.
Dalam hal ini, tekad dan kesungguhan politik menjadi faktor penentu kejayaan mengawal penggunaan vape supaya tidak disalah guna menjadi alat menghisap dadah bentuk baharu.
Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pertimbangan ekonomi jangka pendek sehingga mengabaikan keselamatan dan kesihatan rakyat. PDRM sudah memberi amaran vape dijadikan medium penyalahgunaan dadah sintetik, maka ia bukan lagi isu kecil boleh diabaikan.
Memang benar ada kepentingan ekonomi dalam industri penjualan vape ini, dasar kesihatan awam tidak boleh tunduk kepada tekanan industri. Produk berkenaan sudah terbukti menjadi saluran kepada pengambilan dadah, maka pertimbangan utama mesti kembali kepada perlindungan nyawa dan masa depan generasi muda.
Di sebalik pelbagai tekanan dan hambatan, kita memerlukan satu dasar jelas, konsisten dan tegas mengawal permulaan salah guna vape ini. Akta Racun 1952 dan undang-undang berkaitan harus diperkasakan. Negara lain seperti Singapura sudah mula mengambil tindakan tegas membendung penjualan vape kerana menyedari mampu membawa risiko besar kepada masyarakat terutama apabila disalah guna menjadi alat mengambil dadah.
Tekad politik dan tindakan konsisten daripada kerajaan amat penting demi melindungi rakyat daripada ancaman gaya hidup yang berselindung di sebalik teknologi moden.
Kredit sumber: Berita Harian
