PETALING JAYA: Nasib lima orang kru kapal MV Berkat Tuah termasuk empat rakyat Malaysia yang terkandas di Teluk Parsi dijangka diketahui minggu ini hasil mesyuarat yang akan diadakan melibatkan beberapa pihak berkepentingan.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan langkah-langkah penyelesaian yang terbaik dan paling segera khususnya berkaitan kebajikan kru terlibat, pembayaran gaji yang tertunggak serta proses penghantaran pulang.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, pihaknya amat prihatin dengan nasib lima kru kapal terbabit dan sentiasa memantau perkembangan kes berkenaan.
Katanya, NUSPM telah berhubung dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan hak-hak kru terlibat terus diberikan perhatian sewajarnya.
“Satu mesyuarat tindakan melibatkan pihak-pihak berkepentingan dijangka diadakan dalam minggu ini bagi membincangkan langkah-langkah penyelesaian yang terbaik dan paling segera terhadap situasi yang dihadapi oleh kru MV Berkat Tuah.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan kebajikan kru sentiasa terpelihara, pembayaran gaji tertunggak diselesaikan sepenuhnya serta proses penghantaran pulang (repatriasi) semua kru dapat dilaksanakan tanpa kelewatan yang tidak munasabah.
“Setiap pelaut berhak menerima perlindungan, layanan adil dan hak pekerjaan sewajarnya sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang maritim dan piawaian antarabangsa yang berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan nasib lima kru kapal MV Berkat Tuah yang tiada kepastian selepas hampir sembilan bulan terkandas di Pelabuhan Hamriya, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Gaji mereka malah masih belum dibayar syarikat kapal selama empat bulan.
Lima kru terbabit ialah Kapten kapal, Hendi Irawan, 43, dari Jakarta, Indonesia; Mohamad Luqman Yahaya, 31, dari Felda Kerteh, Terengganu; Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, dan Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, dari Sabah.
Kapten Hendi berkata, sehingga hari ini masih tiada berita yang jelas daripada pihak syarikat mengenai pembayaran gaji tertunggak serta kepulangan mereka yang masih terkandas.
Sementara itu, Ikmal Azam Thanaraj berkata, pihaknya menghargai tindakan proaktif Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Dickson Dollah dalam membantu mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang berlarutan ini.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Laut, syarikat berkaitan serta semua pihak bertanggungjawab dalam perkara ini bagi memastikan penyelesaian yang adil, berperikemanusiaan dan mematuhi hak-hak pelaut dapat dicapai secepat mungkin.
“Kami berharap semua pihak yang terlibat dapat memberikan komitmen penuh dalam menyelesaikan isu ini dan memastikan tiada pelaut yang terus terbiar atau dinafikan hak mereka. Kebajikan, keselamatan dan hak pelaut sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Pada 15 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha membawa pulang baki kru itu yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, UAE.
Kredit sumber: UTUSAN
