PUTRAJAYA: Sebuah pulau, helikopter, kapal layar serta kereta mewah antara aset bakal melalui proses bidaan pada Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 yang akan berlangsung seluruh negara bermula 26 Jun ini.
Pengarah Insolvensi di Jabatan Insolvensi Malaysia, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, berkata tujuan lelongan bagi mencairkan aset berkenaan untuk memudahkan individu yang diisytihar muflis melangsaikan hutang masing-masing.
Selain itu, katanya pengendali platform e-dagang, Shopee, serta beberapa syarikat juga akan mengadakan lelongan barangan tidak dituntut bermula pada harga RM1.
“Kita kumpulkan aset yang ada satu Malaysia. Setakat ini di Sabah akan ada satu pulau yang akan dilelong. Helikopter kita ada, yacht (kapal layar) kita ada.
“Di Putrajaya sendiri kita akan ada lelongan kereta mewah termasuk Bently dan Audi.
“Saya tak boleh nak menyatakan berapa jumlah bakal dikutip hasil lelongan kerana ia akan tertakluk kepada bidaan yang akan dibuat,” katanya pada sidang media Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, di sini, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said merasmikan pra pelancaran karnival hari ini.
Karnival akan dilaksanakan di enam zon bermula di Putrajaya sebelum ke beberapa destinasi lain dengan diakhiri Sabah pada November dan Sarawak pada Disember.
“Bermula pada pada 26 hingga 28 Jun ini kita akan jalankan di Zon Tengah yang merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dan pada Julai kita akan pergi ke Johor dan Melaka.
“Selepas itu kita akan ke Pantai Timur merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu dan pada Oktober di sebelah utara iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya.
Tambah beliau, semua aset dilelong pada karnival di Putrajaya akan disenaraikan melalui laman sesawang Jabatan Insolvensi mulai Khamis ini untuk diakses mereka yang berminat.
Pembida boleh terus ke tapak karnival pada 26, 27 dan 28 Jun ini dan mengimbas kod QR disediakan dan membeli e-book bagi melihat aset akan dilelong pada tarikh terbabit.
“Kita kenakan syarat mudah iaitu sesiapa berminat untuk membuat bidaan aset ditawarkan perlu daftar dan masuk untuk bidaan dalam tempoh dua jam sebelum lelongan dibuka.
“Sudah tentu, di tapak karnival kita letakkan jadual waktu bidaan akan dijalankan. Bidaan juga akan dibuat berperingkat mengikut agensi terbabit dalam lelongan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
