TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin yang meninggal dunia awal pagi tadi dilaporkan berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC) sebelum pemergiannya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Allahyarham merupakan antara pegawai kanan polis yang mempunyai potensi besar untuk menggalas jawatan lebih tinggi berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, malah merupakan kehilangan besar kepada PDRM khususnya Kontinjen Sabah.
Katanya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pegawai yang komited, berdedikasi serta mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang sepanjang kariernya dalam pasukan polis.
“Beliau merupakan seorang pegawai yang amat berdedikasi dan mempunyai potensi untuk terus maju dalam kerjayanya.
Namun, Allah SWT lebih menyayanginya dan menjemputnya lebih awal.
“Ini merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada PDRM, khususnya Kontinjen Sabah kerana beliau adalah antara pegawai yang boleh diketengahkan untuk memegang jawatan yang lebih mencabar serta menerima pangkat yang lebih tinggi.
“Sepanjang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tawau, beliau telah menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Jauteh turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga PDRM yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga Allahyarham.
Beliau berkata, keluarga Allahyarham akan menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan yang disediakan oleh PDRM termasuk menerusi tabung khairat dan bantuan kewangan lain yang berkaitan.
Allahyarham Jasmin, 53, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.04 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.
Setakat ini, laporan bedah siasat masih belum diterima dan pihak polis sedang menunggu keputusan rasmi berhubung punca kematian Allahyarham. – DAKWAT RAKYAT POST
