KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman mengajak umat Islam menjadikan semangat hijrah sebagai asas kepada perubahan diri dan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih cemerlang, berteraskan keimanan, ketakwaan dan nilai ihsan.
Beliau berkata, peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah merupakan detik penting dalam sejarah Islam yang membawa perubahan besar kepada pembentukan sebuah masyarakat yang maju, bersatu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Menurut beliau, penghayatan terhadap makna hijrah tidak seharusnya terhad kepada sambutan tahun baharu Islam semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian melalui usaha memperbaiki diri, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT.
“Hijrah mengajar kita bahawa setiap perubahan yang besar bermula dengan keberanian untuk melangkah keluar daripada kelemahan dan bergerak menuju keadaan yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, pada Rabu.
Dalam majlis sama, ceramah khas yang disampaikan Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr. Ustaz Haji Badli Shah Haji Alauddin turut memberikan pelbagai pengisian bermakna kepada para hadirin.
Beliau menekankan bagaimana Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan ketenangan, keyakinan dan tawakal ketika berdepan cabaran sepanjang peristiwa hijrah, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada umat Islam dalam menghadapi ujian kehidupan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pentingnya mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan Allah SWT serta tidak terlalu memikirkan pandangan negatif manusia sehingga menjejaskan ketenangan diri.
Antara pengisian yang menarik perhatian hadirin ialah kisah perumpamaan burung helang dan burung gagak. Dalam kisah tersebut, burung helang tidak bertindak balas terhadap gangguan burung gagak, sebaliknya terus terbang lebih tinggi sehingga burung gagak keletihan dan berhenti dengan sendirinya.
Perumpamaan itu membawa mesej bahawa kejayaan tidak semestinya dicapai dengan melayan setiap kritikan atau provokasi, tetapi dengan terus fokus kepada matlamat dan melakukan perkara yang memberi manfaat.
Majlis berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh azam umat Islam dalam menyambut tahun baharu Hijrah dengan semangat baharu, hati yang lebih bersih dan tekad untuk terus menyumbang kepada pembangunan ummah serta kemajuan negeri.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya bersama isteri, Datin Seri Noraini Salleh.
Turut serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Mohd Arif bersama isteri, Datin Lenny Tun Musa.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah bersama pasangan masing-masing serta para pembantu menteri bersama isteri. – DAKWAT RAKYAT POST
