Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan pihaknya telah memulakan tindakan tatatertib terhadap dua mahasiswa yang didakwa terbabit dalam kekecohan dengan pihak berkuasa selepas satu protes terhadap perobohan di sebuah kampung di Kudat, Sabah, bulan lalu.
Universiti itu berkata tindakan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat diterima mengenai dakwaan pembabitan dua mahasiswa terbabit dalam insiden yang menurutnya “menjejaskan ketenteraman awam serta kepentingan, nama baik dan integriti universiti.
“UMS memaklumkan semua proses akan dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Sabah) (Tatatertib mahasiswa) 2024, undang-undang subsidiari di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang sebelum ini sering mencetuskan kontroversi.
“UMS memandang serius sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta reputasi institusi, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara adil, telus dan mengikut lunas peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS.
Universiti itu turut menegaskan pihaknya menghormati hak mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan menyatakan pendirian terhadap pelbagai isu yang membabitkan kepentingan awam serta komuniti setempat.
“Namun demikian, kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan berpandukan lunas undang-undang, memelihara ketenteraman awam, serta mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.
UMS menambah prosiding berkaitan tindakan tatatertib itu sudah dimulakan, namun keputusan mengenai hukuman masih belum ditentukan.
Malaysiakini mendapatkan maklum balas UMS susulan dakwaan dua mahasiswanya dikenakan prosiding bawah AUKU selepas dikatakan mempertahankan komuniti mereka daripada ancaman perobohan dan dakwaan rasuah.
Insiden pada 19 Mei di Kampung Asaon, Matunggong, Kudat, dilaporkan membabitkan konflik tanah adat yang membawa kepada operasi perobohan rumah dan pengusiran penduduk.
Malaysiakini difahamkan universiti itu mengenakan lima pertuduhan terhadap mahasiswa berkenaan, yang didakwa membentuk kesalahan tatatertib, dengan UMS merujuk kepada penahanan serta reman susulan dakwaan pembabitan mereka dalam protes itu.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati walaupun mahasiswa berkenaan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, mereka tidak direman untuk siasatan lanjut.
UMS juga difahamkan melabel insiden itu sebagai “aktiviti luar kampus” yang berpotensi memberi kesan buruk kepada universiti.
Dua daripada lima pertuduhan itu juga difahamkan merujuk kepada poster yang disebarkan di media sosial oleh kumpulan mahasiswa Suara Mahasiswa UMS berhubung perhimpunan “Gempur Rasuah Sabah” kali ketiga.
Bagaimanapun, UMS menjelaskan kepada Malaysiakini tindakan yang sedang berjalan terhadap mahasiswa terbabit tidak membabitkan demonstrasi antirasuah itu, sebaliknya hanya tertumpu kepada apa yang berlaku ketika protes di kampung berkenaan.
UMS turut menafikan mengambil tindakan terhadap mahasiswanya berkaitan mana-mana perhimpunan Gempur Rasuah Sabah.
Kredit sumber: Malaysia Kini
