LAHAD DATU: Seorang pelancong warga Jerman meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalankan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Sakar, pagi tadi.
Mangsa, Kenneth Ray Crouse, 78, dilaporkan pengsan ketika berada di kawasan perairan berkenaan sebelum rakannya bertindak memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sementara menunggu bantuan tiba.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerima panggilan kecemasan pada jam 11.20 pagi sebelum menggerakkan bot ronda CENDERAWASIH 02 ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Dzulfikhar berkata, insiden tersebut menunjukkan kepentingan tindak balas segera dan kerjasama antara komuniti maritim, pengusaha pelancongan serta agensi penguatkuasaan dalam menangani sebarang kecemasan di laut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan memaklumkan kepada pihak berkuasa dengan segera sekiranya berlaku kecemasan ketika menjalankan aktiviti rekreasi atau pelancongan di laut.
Sebarang aduan dan maklumat berkaitan kecemasan atau jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
