LAHAD DATU, 18 Jun 2026: Seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di daerah ini pada 16 dan 17 Jun lalu.
Operasi yang diselaraskan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu turut mengesan pelbagai kesalahan melibatkan sektor pekerjaan, imigresen, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan kastam dengan nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun serta rampasan dianggarkan mencecah RM623,450.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata, operasi berkenaan merekodkan pengeluaran sebanyak 71 notis dan kompaun selain dua kes pendakwaan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat.
Menurut beliau, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ESSCOM bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain membanteras kehadiran PATI serta aktiviti ekonomi tidak sah.
“Operasi ini turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan kesalahan berkaitan imigresen, pekerjaan, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan perkastaman.
“Tindakan yang dilaksanakan bertujuan melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, memastikan persaingan perniagaan yang adil serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan akibat aktiviti yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, ESSCOM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone.
Operasi yang melibatkan seramai 262 pegawai dan anggota itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa jabatan dan agensi Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Pemeriksaan turut dijalankan secara mengejut di premis-premis perniagaan sekitar bandar Lahad Datu termasuk kawasan setinggan, pinggir bandar dan kampung.
Hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas 247 individu mendapati seramai 64 daripadanya merupakan PATI.
Kesemua yang ditahan diserahkan kepada JIM Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Dalam operasi sama, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 11 kompaun atas pelbagai kesalahan selain memulakan dua tindakan pendakwaan mengikut Akta Kerja 1955 melibatkan kegagalan majikan mematuhi syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja.
Tindakan yang diambil oleh JTK itu melibatkan nilai penguatkuasaan sebanyak RM133,000.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pula mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) turut mengeluarkan satu kompaun bernilai RM500 berkaitan kesalahan pembersihan dan pembuangan sampah mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Seragam 2010.
Selain itu, MDLD menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen yang dianggarkan bernilai RM1,150.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula merampas minuman keras tanpa lesen dan rokok seludup dengan nilai rampasan dianggarkan RM30,000 mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengeluarkan satu kompaun bernilai RM300 atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Pada masa sama, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas 150 kilogram kabel sambungan haram dan 23 unit pam air yang menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan sebanyak RM14,800.
SESB turut menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan haram itu mencecah RM429,600 setahun.
Menurut ESSCOM, kegiatan sambungan haram bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada utiliti awam malah berpotensi mengundang risiko kebakaran serta mengancam keselamatan penduduk setempat.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Air Negeri Sabah yang turut terlibat dalam operasi berkenaan bagaimanapun tidak mengesan sebarang kesalahan utama di bawah peruntukan undang-undang masing-masing.
Victor berkata, kejayaan operasi tersebut membuktikan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kawal selia mampu mengesan pelbagai bentuk pelanggaran yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
Katanya, ESSCOM akan terus memperkukuhkan pendekatan berkenaan bagi memastikan ESS Zone kekal selamat, teratur dan kondusif untuk pembangunan serta pelaburan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat termasuk PDRM, ATM, APMM, JIM, JKDM, KPDN, JPN, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JTK, JPJ, SESB, Jabatan Air Negeri Sabah, MDLD, Pejabat Daerah Lahad Datu dan pelbagai pihak lain yang menjayakan operasi tersebut.
Menurutnya, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI menerusi Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM.
“Selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, kami akan terus memperhebatkan operasi bersepadu bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
